Sunday, October 5, 2008

Berhari Raya Orang Silat: Uniknya..

Pertama sekali saya selaku penulis blog ini mengucapkan Selamat Hari Raya Adilfitri dan memohon ampun dan maaf sekiranya sebarang bahan di dalam blog ini mengguris perasaan atau kurang memberikan persembahan yang memuaskan. Sebagaimana situasi gelanggang silat pada masa kini, blog ini juga tidak sunyi daripada sambutan orang silat yang boleh dikira dengan jari. Hehe..

Aidilfitri baru-baru ini, penulis berpeluang menziarahi Pakteh Ramli, penulis artikel mengenai Pesan Orang Lama Mengenai Silat yang selalu keluar di Majalah Seni Beladiri. Penulis suka dengan gaya Pakteh. Bersahaja tetapi apabila bersembang, gaya yang disampaikan lembut ibarat nasihat datuk kepada cucu-cucu. Makteh apabila masak, memang masakan kampung total. Penulis tidak pulang selagi tidak menjamah masakan Makteh. Hari pertama berjalan dengan sembang-sembang dan bertukar-tukar pendapat. Hari kedua, satu kunjungan muhibbah daripada kumpulan pesilat Pulau Pinang. Mereka masih muda namun pemahaman tentang silat begitu matang. Penulis berkenalan dengan Amir selaku ketua rombongan. Memang beliau berhajat ingin berjumpa penulis di rumah Pakteh. Beliau sudah setahun berhubung dan bertemu Pakteh.

Sebagai pembuka bicara, satu kumpulan gendang anak muda dari Kampung Sri Perigi, Yan turut hadir bagi memeriahkan suasana. Masing-masing tidak melepaskan peluang. Betul kata Pakteh, hidup pesilat ini ibarat irama gendang. Walaupun tak sama gendang ibu, gendang anak, gong dan serunai tetapi mereka mampu mengalun senada dan seirama. Sekiranya setiap pesilat ada sifat pentingkan diri sendiri, bangsa silat itu sendiri akan hancur. Begitulah realiti yang dihadapi sekarang.

Selepas selesai, kami bersembang mengenai isu-isu semasa dan bertukar-tukar pendapat. Yang tidak seronoknya apabila mereka meminta penulis menunjukkan demo silat dan senaman tua. Oleh kerana tidak mahu menghampakan tetamu dari jauh, penulis tunjukkan tari sembah dan sedikit demo senaman tua walaupun sumbang. Ada yang berminat dan bertanya pelbagai soalan. Mereka memaklumkan mereka dari silat yang tidak ada tari jadi mereka seronok melihat seni tari silat Melayu. Mereka meminta penulis tunjukkan 'Ngeliat Harimau' menurut kaedah senaman tua lalu penulis tunjukkan. Sebagai balasan mereka menunjukkan kaedah mereka. Memang terdiam juga melihat mereka melakukan aksi ngeliat harimau. Memang 'sebijik.'

Yang penting, kunjungan Aidilfitri ini cukup bermakna dan bermanfaat. Selain berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran, kami juga bertukar-tukar ilmu yang bermanfaat untuk generasi yang akan datang.