Wednesday, December 26, 2007

JEMPUTAN KE KEJOHANAN PENCAK SILAT UNIVERSITI ANTARABANGSA 2008 (INTERNATIONAL UNIVERSITY PENCAK SILAT CHAMPIONSHIP 2008)



Kepada semua siswa dan siswi universiti di seluruh dunia! Anda dijemput menyahut cabaran Kejohanan Pencak Silat Universiti Antarabangsa 2008.

Tarikh :
26-30 Mac 2008 (empat hari)
Tempat:
Dewan Utama, Universiti Multimedia Cyberjaya, Malaysia.
Anjuran:
Persatuan Silat Seni Gayung Multimedia Universiti (PSSGM MMU)
Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
Dengan Kerjasama:
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT)
Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan (PESAKA)
Telekom Malaysia Berhad (TM)

Sinopsis
Kejohanan Pencak Silat Universiti Antarabangsa 2008 (KPS 08) adalah lanjutan daripada Pencak Silat Tournament Multimedia University 2007. Kali ini, Persatuan Silat Seni Gayung Multimedia Universiti (PSSGM MMU) dengan bangganya menganjurkan kejohanan berprestij ini.

Fokus
Mencari bakat baru dalam arena silat olahraga dan silat seni. Kejohanan ini diharap melahirkan juara baru di peringkat Sukan Sea, Sukan Komanwell dan sebagainya. Sebanyak 24 pingat emas, 24 pingat perak dan 42 pingat gangsa ditawarkan bagi 24 kategori yang dipertandingkan.
Perkembangan
Tiga puluh pasukan daripada 16 negara dijangka menyertai Kejohanan ini. Setakat ini 18 pasukan termasuk 4 pasukan luar negara dan 14 pasukan tempatan mengesahkan penyertaan. Negara luar yang mengesahkan penyertaan adalah Azerbaijan, India, Indonesia dan Singapura.

Borang dan syarat dan peraturan boleh melawati di http://pssgm.mmu.edu.my/kps08
Maklumat lanjut sila hubungi:
Noordiana binti Ahmad,
Emel: ms.noordiana@yahoo.com
Tel: +6012-4346003
Penolong Pengarah II,
Kejohanan Pencak Silat Universiti Antarabangsa 2008.
(International University Pencak Silat Championship 2008)

TRANSFORMASI SILAT

Mahu ataupun tidak mahu, silat tetap mengalami transformasi dari masa ke semasa. Ia mungkin bergerak secara perlahan dan mungkin juga bergerak pantas mengikut keperluan. Hingga kini, mencari silat Melayu asli adalah lebih sukar daripada mendakwa sesuatu perguruan itu asli. Ini kerana, setiap zaman silat akan menyesuaikan 'dirinya' dengan keadaan tanpa merubah identiti asalnya. Maksudnya, silat akan berhadapan dengan beladiri global yang lebih pragmatik, efektif dan tolenrasi dengan suasana persekitaran pertempuran ataupun gelanggang. Tokoh-tokoh guru biasanya membuat kajian (tidak pasti orang tua dulu-dulu panggil apa) mengenai cara menghadapi serangan daripada perguruan asing selain daripada adunan serang bela daripada perguruannya sendiri. Selain melibatkan pada susunan buah, kuncian dan sebagainya, perubahan juga turut melibatkan pengurusan, pentadbiran dan pengaruh politik dalam sesebuah perguruan. Oleh itu, adalah sukar mendakwa silat itu hampir pupus atau sudah tiba ke penghujungnya melainkan silat itu pupus bersama guru yang tiada penggantinya.

Kejadian Silat

Menurut Tuan Ismail Tuan Soh, walaupun tiada catatan mengenai silat, sumber lisan tetap diambil bagi menerangkan asal usul silat itu sendiri. Dalam buku beliau, sebahagian besar berpendapat silat bermula daripada wanita. Pendapat ini disokong oleh Azlan Ghanie yang percaya, dengan keunikan silat ini, ia dapat dipelajari oleh wanita dengan mudah tanpa memerlukan teknik dan tenaga yang besar.

Asal-usul Pertama
Salah satu daripada asal usul silat dipercayai berasal dari sebuah perkampungan di Sumatera. Menurut lagenda, seorang suri rumah pergi ke anak sungai bagi mengambil air. Semasa berada di anak sungai itu, beliau ternampak seekor harimau bertarung dengan seekor harimau besar. Pertarungan diceritakan cukup hebat dan berlangsung lama. Dalam pertarungan itu, tidak ada pihak yang menang sebaliknya kedua-dua haiwan itu mati.

Selepas menyaksikan peristiwa luar biasa itu, beliau terus mencedok air lalu pulang. Apabila beliau sampai di rumah, suaminya menunggu dan menyangka beliau melakukan perbuatan curang. Akibat cemburu, berlakulah pertengkaran dan diikuti pergaduhan. Si suami cuba memukul isterinya tetapi isterinya dapat mengelak dan menangkis segala pukulan suaminya. Melihat kelincahan isterinya yang luar biasa itu, si suami berasa hairan dan kagum dengan kemampuan isterinya membela diri.

Si suami menghentikan pergaduhan. Dia bertanya kepada isteri, daripada siapa beliau mempelajari ilmu itu? Isteri menjawab, beliau mendapat ilmu bela diri ini daripada pertarungan harimau dengan burung besar di anak sungai tadi.Si suami tertarik mendengar cerita itu lalu meminta isterinya mengajarnya segala teknik yang beliau peroleh.

Dengan berpandukan gaya tempur kedua binatang tadi, suami menyusun dan mengolah sehingga menjadi teknik bela diri yang disegani iaitu silat.

Asal-usul Kedua
Pendapat yang mendakwa silat bermula daripada wanita disokong oleh pendekar bernama Che Mud bin Che Man (meninggal dunia pada 25 Disember 1982). Namun, beliau menceritakan asal usul silat daripada wanita dari sudut yang berlainan.Pada suatu senja dalam perkampungan Melayu, ada seorang suri rumah yang sedang menjunjung bakul berisi makanan dalam perjalanan menuju ke rumahnya. Tiba-tiba, datang beberapa ekor burung cuba mencuri makanan yang dibawanya.

Dalam pergelutan itu, beliau cepat mengalih bakulnya ke kiri, ke kanan, ke atas dan ke bawah sambil tangannya menepis serangan burung itu. Selain itu kakinya turut bermain tapak bagi mengimbangi dirinya sambil menepis dan menyerang burung-burung itu. Pergelutan itu berlangsung lama sehingga beliau itu terbiasa dengan gerakan-gerakan serta-merta. Akhirnya pergelutan itu berakhir namun makanan yang dibawanya hancur dan rosak.

Apabila beliau sampai ke rumah, beliau dimarahi suami kerana lambat dan makanan yang dibawa untuknya juga rosak. Isterinya cuba menerangkan kepada suami namun si suami enggan mendengar lalu cuba memukulnya. Oleh kerana terbiasa dengan gerakan membela tadi, isterinya dengan mudah mengelak dan menepis semua serangan yang dilancarkan oleh suaminya. Melihat kelincahan isterinya, si suami menghentikan pergaduhan lalu bertanya mengenai asal membela diri isterinya. Isterinya pun menceritakan peristiwa burung-burung tadi. Oleh kerana tertarik hati, si suami mempelajari teknik bela diri itu sehingga mahir. Melalui suami, ia berkembang ke beberapa kampung dan daerah sehingga menjadi silat.

Asal-usul Ketiga
Sebahagian pula berpendapat silat bermula daripada lelaki. Pada zaman dahulu, ada seorang pemuda ternampak sekuntum bunga terjatuh dalam sungai yang mengalir deras menghala ke air terjun. Pada fikiran pemuda itu, sudah pasti bunga itu hancur dihempas air dari tempat yang tinggi. Namun jangkaannya meleset. Bunga itu masih cantik seperti asal dan membelok ke kiri dan ke kanan mengikut arus. Setiap kali bunga itu menghampiri batu, ia akan berbalik kerana pantulan air yang berarus songsang.

Daripada peristiwa itu, pemuda itu mempraktikkan teknik-teknik beladiri mengikut gaya sekuntum bunga tadi. Berdasarkan kajian, susunan dan keberkesanan beladiri beliau mengembangkan silat.

Asal-usul Keempat
Asal-usul keempat ada kaitannya dengan asal-usul ketiga dan diperincikan lagi dalam buku Silat Melayu karangan Ku Ahmad Ku Mustafa dan Wong Kiew Kit. Menurut mereka, kelahiran silat berlaku pada abad ke-13. Tiga adik beradik bernama Burhanuddin, Shamsuddin dan Aminuddin mengembara ke utara Semenanjung bagi mempelajari agama Buddha. Mereka bertiga menuntut dengan sami yang tinggal di hutan (dipercayai di Thailand).

Suatu pagi, Aminuddin merayau-rayau di tepi danau berdekatan air terjun. Beliau ternampak sekuntum bunga terjatuh ke dalam air terjun lalu dibawa arus arus. Namun, bunga itu tetap dalam tidak terjejas atau rosak. Bunga itu melambung-lambung mengikut arus tanpa terhempas ke batu ataupun dihempas air deras. Daripada pemerhatian itu, beliau mencipta seni beladiri yang lemah-lembut, menyerap hentakan lawan dan melepaskan diri daripada kepungan lawan. Sistem yang diperkenalkan oleh Aminuddin inilah dikenali sebagai silat.

Kesimpulan
Sebenar masih ada banyak versi dan dakwaan mengenai asal-usul kewujudan silat. Daripada versi yang dipaparkan, cukup bagi kita menyesuaikan versi-versi ini mengikut sejarah yang berkaitan dengan sesebuah silat. Sukar untuk membuktikan keaslian silat berasal daripada atau terbatas hanya daripada satu versi sahaja. Kerana setiap versi masih kabur dan ada kelemahan yang boleh dipertikaikan. Walau bagaimanapun penulis percaya silat itu tetap berasal daripada SATU yang tidak ada siapa yang tahu mengenai kewujudannya dengan tepat. Cuma apa yang dapat disuaikan dalam versi-versi ini adalah silat mempunyai kaitan yang rapat antara wanita dan bunga. Wanita digambarkan dengan pergerakan yang lemah-lembut, memukau dan tanpa sedar ia mempunyai 'senjata' (mungkin pujuk rayu, air mata dan sebagainya mengikut kelemahan lawan. Wanita yang bijak adalah wanita yang mampu memperdayakan lawannya tanpa merosakkan dirinya) yang mampu melemahkan musuh. Bunga juga cukup sinonim dengan wanita. Kelopaknya cukup lembut tetapi apabila menghadapi asakan luar, ia mudah menyerap hentakan dan mengelakkannya daripada dimusnahkan. Jelas ia menggambarkan silat mempunyai nilai estetika dan unsur strategi yang tinggi.

Friday, December 14, 2007

ASAL USUL SILAT

Sehingga kini, tidak ada bukti rasmi yang menunjukkan silat itu berasal daripada sesuatu keadaan. Walaupun ada pihak yang mendakwa silat berasal daripada perlakuan binatang, wanita, suatu tindakan tindak sengaja, semerta, asal perkataan silat itu sendiri namun hujah itu masih di peringkat istilah dan falsafah serta boleh dipertikai. Ini kerana tidak ada penemuan bukti secara bertulis mengenai asal usul silat, penemuan artifak dan lokasi kejadian. Apa yang ada hanyalah sumber lisan daripada guru-guru tua dan disampaikan kepada generasi-generasi selepasnya. Ini kerana sebahagian guru terlalu merahsiakan ilmu persilatannya termasuk sejarahnya dan sebahagian guru pula terlalu menokok tambah mengenai ilmu persilatannya sehingga wujud kekeliruan dan kecelaruan fakta yang tidak munasabah. Daripada sumber-sumber ini, para pengkaji menyelidik, menapis dan menyesuaikannya mengikut logik yang boleh diterima mengikut keadaan setempat.

Hasil kajian setakat ini menunjukkan, asal usul silat terbahagi kepada dua bahagian:

(1) Kejadian Silat.
(2) Kewujudan Istilah.

SILAT DI HUMAN WEAPON HISTORY.COM


Silat kini menembusi siri dokumentari beladiri Human Weapon di History Channel (Astro saluran 555 tetapi bagi siri Human Weapon, penulis fikir belum ada di Malaysia). Walaupun saluran ini masih baru, mereka sudah menjelajah ke beberapa negara dalam mencari perguruan beladiri. Antara perguruan yang telah mereka temui adalah Muay Thai (Thailand), Karate, Judo (Jepun), Eskrima (Filiphina), Krav Maga (Israel), Pankration (Greek), Kor Marin, MMA (US), Kung Fu (China), Sambo (Rusia),Prada Serey (Kemboja) dan kini Silat (Malaysia).


Penulis difahamkan mereka berminat membuat liputan mengenai silat apabila terbaca buku The Malay Art of Self-Defense: Silat Seni Gayung karangan Sheikh Shamsuddin Tan Sri SM Salim (atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Sam). Tahniah kepada Cikgu Sam kerana berjaya menghasilkan buku yang dapat membuka mata dunia mengenai silat. Mengikut perancangan asal, mereka mahukan Cikgu Sam melakonkan watak utama sebagai wira namun terpaksa diubah kerana beliau masih bekerja di Amerika Syarikat.


Sehubungan itu, wakil penerbit di Malaysia meminta bantuan Guru Utama Azlan Ghanie selaku Penerbit Majalah Seni Beladiri sebagai perunding kepada beberapa perguruan beladiri. Akhirnya, perguruan silat yang terpilih adalah Seni Silat Gayung Malaysia, Silat Ikatan Kalam Utama Malaysia (PIKUM), Lian Padukan, Silat Melayu Keris Lok Sembilan dan Silat Harimau. Pada mulanya, tidak ada masalah daripada segi mendapatkan kerjasama perguruan silat kerana semua mahu mengangkat perguruan silat masing-masing. Namun, semangat sedikit terbantut apabila mendapat tahu ia hanyalah lakonan. Hos rancangan, Jason Chambers (pengamal MMA, Jiu-jitsu dan Jeet Kun D0) dan Brian Duff (pemain ragbi, pengawal keselamatan, ahli gusti dan Toa So Dou) melakonkan watak mahu mempelajari Seni Silat Gayung. Sebagai syarat, guru Silat Gayung meminta Chambers dan Duff mempelajari dan menguasai silat yang terdapat di Malaysia. Selepas mempelajari silat daripada pelbagai perguruan, mereka akan berentap dengan enam pesilat Gayung sebelum diterima sebagai murid. Ironinya, rancangan itu seolah meletak 'standard' perguruan silat pada kehendak pengarah, layanan penerbit rancangan kepada perguruan dan berlaku kesilapan fakta yang agak sensitif.

Walaupun ada pihak yang terguris dengan rancangan itu, semua perguruan tetap memberikan kerjasama yang baik. Adat meraikan tetamu, biar sampai kenyang. Penulis tidak berada lama di lokasi penggambaran. Cukuplah memberi apa yang termampu kepada mereka yang pandai menghargai.

Video rasmi Human Weapon, History.com boleh ditonton di:

http://www.history.com/minisite.do?content_type=Minisite_Video_Clips&display_order=1&content_type_id=56896&mini_id=54986
Video penuh di:

http://www.66stage.com/tv.php?url=v1531940cfCehFte&pl=veo

Sumber gambar: http://www.zipile.com/forums/showthread.php?t=22776

Selamat Menonton!

Tuesday, December 11, 2007

PERBEZAAN PENCAK DAN SILAT

Menurut Pendita Anuar Abdul Wahab (A.M.N.), pencak sememangnya dari Indonesia. Sehubungan itu, adalah wajar kita mengambil sumber dari Indonesia bagi memahami istilah pencak dan silat.

Menurut Guru Pencak Silat Baewan, Abdus Sjukur,

“pencak ialah gerakan langkah indah dengan mengelak, yang disertakan gerakan berunsur komedi. Pencak dapat dipertontonkan sebagai medium hiburan. Sedangkan silat ialah unsur teknik beladiri yang menangkis, menyerang dan mengunci yang tidak dapat diperagakan di depan umum.”

Guru Utama Hasan Hasbudin, pengasas perguruan Pamur di Madura bersependapat,

“pencak ialah seni beladiri yang diperagakan seni beladiri yang diperagakan dengan diatur, padahal silat sebagai intisari daripada pencak yang tidak dapat diperagakan. Di kalangan suku Madura, pencak dianggap berasal daripada perkataan bahasa Madura, 'apengkarepeng laju aloncak' (bergerak tanpa aturan sambil meloncat) sedangkan silat berasal daripada 'se amaen alat mencelat' (sang pemain berloncat kian ke mari seperti kita).”

Baehori, pendekar Tapak Suci dari kota Jember mengakui istilah pencak daripada perkataan Madura. Namun, menurut beliau, asal perkataan pencak adalah 'acak mancak' iaitu melompat ke kiri dan kanan dengan menggerakkan tangan dan kaki. Interpretasi mengenai silat juga berbeza:

“pencak ialah fitrah manusia untuk membela diri dan silat sebagai unsur yang menghubungkan gerakan dan fikiran.”

Beliau juga mengakui silat perlu dirahsiakan.

Imam Koesepangat, Guru Utama Setia Hati Teratai di Kota Madiun mentakrifkan pencak sebagai gerak beladiri tanpa lawan dan silat adalah beladiri yang tidak boleh dipertandingkan.
Mr. Wongsonegoro, salah seorang pengasas dan ketua pertama Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) membezakan,

“pencak ialah gerakan serang bela yang berupa tari dan berirama dengan peraturan adat kesopanan yang tertentu, yang boleh dipertontonkan kepada umum. Silat ialah intisari daripada pencak, ilmu untuk perkelahian atau membela diri bermati-matian yang tidak dapat dipertunjukkan kepada umum.”

Sebenarnya pemahaman mengenai pencak dan silat ini sentiasa menjadi perselisihan yang tidak dapat diselesaikan. O'ong Maryono berpendapat, pada peringkat awal, perguruan hanya menggunakan istilah pencak sahaja ataupun silat sahaja. Ia dua istilah berlainan pada makna dan daerah. Sehinggalah pada tahun 1948, muncul keinginan untuk menggabungkan dua istilah asas ini sebagai usaha kolektif bagi menyatukan semua perguruan di Indonesia. Akhirnya, pada tahun 1973, pencak silat diperkukuhkan secara sebagai istilah nasional. Walaupun istilah pencak silat digunakan secara rasmi, pemahaman mengenai istilah pencak dan istilah tetap tidak hilang malah ia tetap digunakan secara berasingan seperti Pencak Angkatan Muda Rasio dan Keluarga Silat Nasional sebagai memelihara warisan dalam membentuk kesepaduan.
(sumber: Silat Merentang Waktu: O'ong Maryono: 2000)

SILAT: BERSILAT, SILAT, PASILAT DAN PENCAK SILAT

Di Semenanjung Malaysia, teknik membela diri dalam pergaduhan atau pertarungan disebut 'bersilat.' (O'ong Maryono: Silat Merentang Waktu) Dalam era 80-an, bersilat terdiri daripada lebih 260 gaya atau aliran dengan pelbagai nama. Ia bergantung kepada teknik atau daerah asalnya seperti gayung, gayung Fatani, cekak, keletan, lintan dan terelak (Draeger & Smith 1980:179; Mitchell 1989:183, 1989a:137, Notosoejitno 1984:9). Istilah bersilat juga digunakan di Singapura, Patani, Satun dan Narathiwat.

Di Brunei dan Filiphina Selatan, ilmu beladiri Melayu ini hanya dikenali dengan silat sahaja. Di daerah-daerah lain di Filiphina, istilah pasilat juga sering digunakan (Notosoejitno 1984:10-12). Menurut Mark Wiley, pakar beladiri (1944:21-22), ilmu silat memasuki Filphina melalui Riau. Selain silat, ilmu beladiri Cina, kuntao juga mempengaruhi perkembangan beladiri kuno 'kali.' Di Filiphina, kali dianggap sebagai beladiri moden di Filiphina.

Di Indonesia, ilmu beladiri ini dikenali dengan nama rasminya pencak silat. Seperti Malaysia, pencak silat di Indonesia dikenali dengan pelbagai nama mengikut teknik, daerah dan suku. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia terbitan Balai Pustaka, pencak silat bermaksud permainan (keahlian) dalam mempertahankan diri, baik dengan senjata ataupun tanpa senjata. Bersilat pula bermakna bermain dengan menggunakan ketangkasan menyerang dan mempertahankan diri (Kompas 1996:18).

Kenapa Seni?

Ada bezanya di antara orang yang membela dirinya secara berseni dengan orang yang membela dirinya tanpa seni. Orang yang membela dirinya secara berseni menggunakan kekuatan akalnya. Jadi, mereka lebih bersifat strategis dan pragmatis. Orang yang bertindak tanpa seni pula hanya menggunakan kekuatan fizikal dan lebih bersifat 'instinctive.' Guru-guru Silat memberikan pentakrifan yang pelbagai tentang seni. Menurut Guru Zahalan Man, Guru Utama Persatuan Ikatan Kalam Utama Malaysia (PIKUM) berkata, "Tanpa seni, seseorang itu bertindak seperti kaum Barbar (tidak bertamadun, tidak berbudaya, ganas, kejam, gemar berperang dan tidak berperikemanusiaan)." Sebahagian guru silat pula berpendapat, seni silat hanya khusus pada upacara rasmi seperti majlis perkahwinan, pertunjukan pentas, sembah diraja dan sebagainya. Apabila berlaku dalam pertempuran sebenar, seni kurang dipraktikkan. Perbezaan di antara seni dan pencak akan dibincangkan pada kuliah akan datang.

Seni dalam Silat Melayu bukan sahaja bermaksud estetik malah ia lebih bersifat saintifik. Estetik bermaksud sopan, lemah lembut dan indah dalam segala pergerakan. Daripada sudut saintifik pula, Silat Melayu tanpa disedari menyerap teori dinamik, momentum, velositi, psikologi dan ekonomi (Rujuk Tuan Ismail Tuan Soh, Seni Silat Melayu dengan tumpuan kepada Seni Silat Sekebun, DBP).

Apabila unsur saintifik diamalkan, orang yang sudah berumur lanjut mampu mengalahkan orang yang lebih muda, orang bertubuh kecil dapat mengalahkan orang yang bertubuh sasa, orang yang tanpa bersenjata dapat mengalahkan orang yang bersenjata dan berbagai-bagai lagi. Tidak hairanlah orang yang mahir mengamalkannya juga dapat mengalahkan musuh yang lebih ramai dan dalam masa yang singkat.

Monday, December 10, 2007

Memahami Silat

Tidak siapa yang dapat menafikan Seni Silat Melayu adalah ilmu bela diri yang menjadi hak asli kepunyaan Melayu (Rujuk Quitin Chambers dan Donn F. Draeger, Javanese Silat, The Fighting Art of Perisai Diri).

Masyarakat Malaysia dan Indonesia mendefinisikan silat sebagai 'teknik membela diri dalam pergaduhan dan pertarungan. Oleh itu, orang yang pandai bersilat bermaksud pandai membela diri dalam pergaduhan menggunakan teknik bela diri.

Donn F. Draeger berkata, silat sama ada latihan persendirian yang bebas daripada segi gerakan jasmani ataupun pertarungan dengan musuh.

Menurut Ku Ahmad Ku Mustafa dan Wong Kiew Kit pula, silat ialah satu siri gerakan jasmani untuk menyerang dan mengelak dengan lemah lembut sifatnya. Selain gerakan ini, seseorang itu juga melakukan serangan kepada musuhnya selain daripada membela diri.

Silat kaya dengan tipu muslihat dalam usaha mencapai kemenangan. Tipu muslihat ini selalu tersembunyi dalam gerakan dan kedudukan pesilat. Musuh yang leka akan melihat pesilat seperti menari, lemah dan alpa. Gerakan ini jelas dihuraikan oleh Draeger,

"Such a ruse is called a weak counterpart position and is on deceptive stances and movements. This weakness is always demonstrated openly and deliberately… It is all decoy, a lure to bring the enemy into a blind attack… By such misjudgement… the attacker leaves holes in his defense and is subject to prompt and efficient counter-attack."

Tipu muslihat dalam Kamus Dewan bermaksud elak (atau ilat mengikut loghat bahasa di sebelah utara Malaysia Barat). Penulis yakin perkataan silat mungkin berasal daripada perkataan 'si elat' atau 'si ilat' (orang yang pandai tipu muslihat). Ia sama dengan perkataan pendekar yang berasal daripada 'pandai akal.' Kuliah akan datang membincangkan mengenai 'si ilat. si elak dan silau.'

Universiti Silat Antarabangsa Dilahirkan

Apabila menyebut silat, sebahagian menganggap ia adalah beladiri Melayu yang hampir pupus, mengajar keganasan, tidak berperikemanusiaan, lembik dan banyak bunganya, buang masa, tidak sesuai dengan zaman ini yang lebih kepada tempur bebas (free style) dan bermacam-macam lagi. Ia bergantung kepada siapa yang melihat. Apabila seseorang melihat silat itu sebagai ganas maka silat itu memang ganas, apabila melihat silat itu membuang masa maka silat itu memang membuang masa, apabila melihat silat itu lembik maka memang silat itu lembik dan sebagainya.

Dalam menghadapi pelbagai persepsi masyarakat mengenai silat, silat tetap utuh merentas waktu. Bagaikan saka yang tidak mati. Bagai kuasa yang terus membuatnya berdiri. Setiap tahun pesilat bagai silih berganti namun tetap ada yang mewarisi. Ia tidak berkurang tetapi semakin bertambah. Falsafah dan teknik kini tidak seperti silat dahulu kala. Tidak terbatas hanya kepada silat pulut. Tetapi silat terus 'berkawan' dengan pelbagai beladiri di sekeliling, mengambil yang baik dan menolak yang buruk. Silat kini dapat dilihat dengan pelbagai variasi, teknik dan juga nama.

Kelemahan silat kini adalah tidak mempunyai catatan bertulis. Majoritinya diambil daripada sumber lisan yang disampaikan daripada orang dahulu kala. Ada sumber yang dapat disampaikan hingga dinikmati oleh generasi masa kini dan ada sumber yang mati bersama penyampainya. Hingga kini tidak ada siapa yang dapat membuktikan asal usul silat dengan tepat. Peristiwa ini tidak perlu diulangi. Segalanya perlu didokumentasi bagi memastikan sedala rekod dan catatan mengenai silat terus terpelihara untuk generasi akan datang.