Friday, November 21, 2008

Seminar Tekpi 2008

PERTUBUHAN SENI SILAT HARIMAU BENTARA GARANG

Pertubuhan Seni Silat Harimau Bentara Garang dengan kerjasama Guru Tua Pak Jaafar (anak saudara Yahya Hj. Said) akan menganjurkan Seminar Tekpi.

Tarikh: 29-30 November 2008 (Sabtu & Ahad)
Tempat: Kaki Gunung Jerai, Kedah.

Antara sukatan pelajarannya:

TEKPI JANTAN BETINA,TEKPI DADA TUMU,TEKPI SAMBAK,PEDANG CINDAI,LEMBING 7 MUKIM,KERIS,BERABANG SERIBU,BAMBOO KUNING,ALI-ALI,TONGKAT SANGKUH,LADING ,PEDANG LAWI DAN BANYAK LAGI


Yuran dikenakan: RM200.00

Kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi 0175587956 (Hakim)
ANDA DIJEMPUT UTK SAMA2 MEMPELAJARINYA.

Sunday, October 5, 2008

Berhari Raya Orang Silat: Uniknya..

Pertama sekali saya selaku penulis blog ini mengucapkan Selamat Hari Raya Adilfitri dan memohon ampun dan maaf sekiranya sebarang bahan di dalam blog ini mengguris perasaan atau kurang memberikan persembahan yang memuaskan. Sebagaimana situasi gelanggang silat pada masa kini, blog ini juga tidak sunyi daripada sambutan orang silat yang boleh dikira dengan jari. Hehe..

Aidilfitri baru-baru ini, penulis berpeluang menziarahi Pakteh Ramli, penulis artikel mengenai Pesan Orang Lama Mengenai Silat yang selalu keluar di Majalah Seni Beladiri. Penulis suka dengan gaya Pakteh. Bersahaja tetapi apabila bersembang, gaya yang disampaikan lembut ibarat nasihat datuk kepada cucu-cucu. Makteh apabila masak, memang masakan kampung total. Penulis tidak pulang selagi tidak menjamah masakan Makteh. Hari pertama berjalan dengan sembang-sembang dan bertukar-tukar pendapat. Hari kedua, satu kunjungan muhibbah daripada kumpulan pesilat Pulau Pinang. Mereka masih muda namun pemahaman tentang silat begitu matang. Penulis berkenalan dengan Amir selaku ketua rombongan. Memang beliau berhajat ingin berjumpa penulis di rumah Pakteh. Beliau sudah setahun berhubung dan bertemu Pakteh.

Sebagai pembuka bicara, satu kumpulan gendang anak muda dari Kampung Sri Perigi, Yan turut hadir bagi memeriahkan suasana. Masing-masing tidak melepaskan peluang. Betul kata Pakteh, hidup pesilat ini ibarat irama gendang. Walaupun tak sama gendang ibu, gendang anak, gong dan serunai tetapi mereka mampu mengalun senada dan seirama. Sekiranya setiap pesilat ada sifat pentingkan diri sendiri, bangsa silat itu sendiri akan hancur. Begitulah realiti yang dihadapi sekarang.

Selepas selesai, kami bersembang mengenai isu-isu semasa dan bertukar-tukar pendapat. Yang tidak seronoknya apabila mereka meminta penulis menunjukkan demo silat dan senaman tua. Oleh kerana tidak mahu menghampakan tetamu dari jauh, penulis tunjukkan tari sembah dan sedikit demo senaman tua walaupun sumbang. Ada yang berminat dan bertanya pelbagai soalan. Mereka memaklumkan mereka dari silat yang tidak ada tari jadi mereka seronok melihat seni tari silat Melayu. Mereka meminta penulis tunjukkan 'Ngeliat Harimau' menurut kaedah senaman tua lalu penulis tunjukkan. Sebagai balasan mereka menunjukkan kaedah mereka. Memang terdiam juga melihat mereka melakukan aksi ngeliat harimau. Memang 'sebijik.'

Yang penting, kunjungan Aidilfitri ini cukup bermakna dan bermanfaat. Selain berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran, kami juga bertukar-tukar ilmu yang bermanfaat untuk generasi yang akan datang.

Thursday, August 21, 2008

Seminar Tari Pendekar Pahang

Majalah Seni Beladiri akan menganjurkan Seminar Tari Pendekar Pahang 2008. Guru yang menyampaikan ilmu tari pendekar adalah YBhg. Guru Mazlan Haji Hashim dari Pencak Silat Sangkar Rewana juga Setiausaha Agung Pertubuhan Pengamal dan Pengusaha Perubatan Tradisional Negeri Pahang (Petra) .

Maklumat Seminar:

Tarikh: 24 Ogos 2008
Tempat: Hanya yang mendaftar akan diberitahu
Bayaran Penyertaan: RM150.00

Asal usul tari ini diwariskan secara turun temurun daripada Panglima Endul kepada Cikgu Jantan sehingga kepada YBhg. Guru Anjang Adam, Guru Utama Pencak Silat Sangkar Rewana. Tari ini juga dipercayai dipelajari oleh pendekar-pendekar Negeri Pahang seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman dan lain-lain.

Antara modul yang akan disampaikan:

Seludang Jatuh, Lenggang Janda, Benang Kusut, Merbah Berlaga, Kayuh Raja Beradu, Tarik Rotan Banar, Cack Racik, Helang Berlegar, Helang Melayang, Angkat Pulut, Belah Udang, Bersikat, Limbai, Gajah Berdorong, Permainan Empat Penjuru, Langkah Tiga, Mengumpan Ayam Putih, Tikam Serong, Buang Luar, Buang Dalam, Belebat, Tembung, Parang, Dorong, Spelet, Belahm Kelip dan banyak lagi.

Sila hubungi Fuad Hamdan di talian 012-9510872 untuk pendaftaran.

Thursday, August 7, 2008

Silat dalam Merentas Waktu

Silat diketahui sebagai seni beladiri yang tertua dan wujud sebelum abad ke-8 lagi. Secara umumnya manusia perlu membela dirinya apabila diancam sama ada sedar ataupun tidak. Dalam tempoh masa yang panjang, silat berevolusi menjadi seni beladiri yang cukup efektif pada sebarang situasi dan diwarisi oleh generasi muda hari ini. Pebincangan blog kali ini menghurai fasa peralihan silat dari satu zaman ke satu zaman dan kepentingan menguasainya pada zaman itu:

ZAMAN PRA SEJARAH

Secara semula jadi, manusia mempunyai deria bagi membela dirinya daripada ancaman tidak kira sama ada dia seorang pakar beladiri ataupun tidak. Apabila diserang, dia akan bertindak balas terhadap ancaman sama ada secara berseni ataupun secara sesuka hati. Kebiasaannya ia bergantung sejauh mana tahap panik seseorang itu sehingga melahirkan kuasa bagi menyelamatkan diri. Sifat ini sudah wujud sejak manusia zaman pra sejarah lagi. 

Pada zaman Palaeolithic (15000 SM), ilmu membela diri dikenali sebagai Phithecanthropus erectus. Ilmu ini biasanya dipraktikkan apabila menghadapi serangan binatang buas. Daripada teknik ini, ia digunakan bagi membela diri dan kaum daripada ancaman dan serangan daripada manusia atau kaum yang lain. 

ZAMAN SRIVIJAYA DAN MAJAPAHIT

Merujuk pada arkeologi sejarah seperti ukiran timbul di candi Borobudur dan candi Pramban di Jawa, kelihatan bukti kewujudan sistem beladiri di Kepulauan Melayu pada abad ke-8. Dari Kepulauan Riau, ia merebak ke Minangkabau, Sumatera. Di sana, ilmu beladiri ini diperhalusi lagi sehingga menjadi ilmu persilatan Indonesia. Ilmu persilatan ini pernah digunakan dalam pemerintahan Srivijaya (abad ke-7 hingga ke-14) bagi meluaskan empayarnya. 

Pada zaman Empayar Majapahit (abad 13-16) pula, ilmu silat mencapai kemuncaknya apabila mengaplikasikan senjata dalam perlawanan.   

ZAMAN MELAKA 

Dari Minangkabau, silat ini diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, hanya mereka yang rapat dengan pihak istana sahaja yang berpeluang mempelajari silat.  Walau bagaimanapun, silat ini sampai ke pengetahuan rakyat dan berkembang menjadi kesenian desa. Kesenian ini terus berkembang walaupun Barat bertapak kukuh selepas 1511. Semasa era orang Melayu menentang Inggeris secara gerila, silat 'menyembunyikan dirinya' dalam bentuk tarian rakyat (atau dikenali silat tari atau silat pulut) sehingga mengelirukan penjajah. Akibat kepesatan dan kesungguhan guru-guru tua dahulu, silat boleh didapati di mana-mana kampung yang wujud hingga ke hari ini. 

ZAMAN MODEN

Silat mengalami perubahan sedikit demi sedikit apabila seni beladiri asing mula membanjiri Semenanjung Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, identiti silat sedikit sebanyak masih dikekalkan terutamanya pada tari, senjata seperti keris dan irama gendang. Ada juga silat yang mengambil terus kepada teknik tempur sebagai 'jalan pintas' dalam menguasai sesuatu perlawanan. Ada juga silat yang diubahsuai kepada sukan olahraga seperti Silat Olahraga. Kini, silibus silat disusun bagi memenuhi standard kepakaran dalam sesuatu perguruan. Kesemua teknik-teknik silat Melayu Tua digarap sehingga melahirkan pelbagai teknik dan buah. Menurut Persidangan Agung Penubuhan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) yang diadakan di Kuala Lumpur pada 24 September 1983, ada 269 gaya seni silat di Malaysia (tidak termasuk Sabah dan Sarawak) dan terdapat 465 pertubuhan yang berdaftar ketika itu (dan pastinya angka tidak berdaftar jauh lebih besar). 

Walaupun silat mengalami kelembapan dalam era ICT, guru-guru tua dan muda terus tumbuh bagaikan cendawan. Pertumbuhan ini baik sekiranya guru-guru 'khatam' dalam perguruan asalnya lalu membuka gelanggang baru sebagai penyambung warisan ataupun membuka perguruan baru dengan garapan ilmu-ilmu beladiri lain yang tersemat di dalam dada. Pertumbuhan yang tidak baik adalah apabila guru-guru itu hanya cukup 'mengambil rasa' sesebuah perguruan lalu membuka perguruan baru pada tahap pencapaian yang masih minima. Setakat ini masih belum ada sebarang badan bagi mengawal pertumbuhan perguruan baru dan tiada standard khusus bagi sesebuah perguruan mendaftarkan diri sebagai pertubuhan silat yang baru. Tindakan ini perlu dikawal bagi memelihara kualiti silat dan menjaga maruah silat apabila berdiri di mata dunia.  
  

   

Tuesday, May 20, 2008

Silat Body Receives International Award In United States

June 05, 2008 22:48 PM 

KUALA LUMPUR, June 5 (Bernama) -- Three members of the Ikatan Kalam Utama Silat Organisation (PIKUM) were recently given awards for their contributions to self defence at an international self defence symposium in the United States.


Kalam Utama Silat founder Grandmaster Professor Dr Zahalan Man was awarded the 'Historical Member Award', PIKUM patron Datuk Shahul Hamid M.A. Bakar the 'National Leadership Award' and Sheikh Shahawal Ali Sheikh Kamaruddin the 'National Convention Award.'

The awards were given at the 16th International Self Defence Symposium held at San Antonio, Texas from May 23-24, Datuk Shahul Hamid said in a statement here Thursday.

Tourism Minister Datuk Seri Azalina Othman Said and Youth and Sports Minister Datuk Ismail Sabri Yaakob were awarded the 'International Leadership Award' in recognition of their leadership quality. 

-- BERNAMA

Wednesday, May 14, 2008

Salasilah Kesultanan Melayu Melaka Hingga Sekarang

Raja Suran al-Bahari, mempunyai 3 orang anak hasil perkahwinan dengan Puteri Mahtabul Bahri, puteri Raja Aftabul 'Ard dari Kerajaan Basram (bawah laut).

(a) Nila Utama (Sang Sapurba) berkahwin dengan Wan Empuk dan Ratu Chnadra Puri.

(b) Nila Pahlawan, berkahwin dengan Wan Sendari, lagenda nenek moyang kepada Raja-raja Minangkabau di Sumatera (Indonesia).

(c) Krishna Pendita berkahwin dengan Wan Malini, nenek moyang kepada Raja-raja Tanjungpura.


1160 - 1208 : Wan Empok dan Ratu Chandra Puri, Raja Temasik (kini Singapura), berkahwin dengan Nila Utama (Sang Sapurba), melahirkan beberapa orang anak dalam beberapa generasi (tidak diketahui)
------------------------------------------------------------------------------

1360 - 1376 : Sri Maharaja Nila Utama, (Raja Parameswara dari Temasik) mengahwini Raja
Parameswari. Baginda mangkat pada tahun 1376 dan meninggalkan waris :


(a) Raja Kecil Besar Paduka Sri Pekerma Di Raja, ditabal sebagai Paduka Seri Vikramavira, Raja Temasik.
(b) Raja Kecil Muda Tun Perpatih Permuka Vijaya, Bendahara. Baginda meninggalkan waris:
i) Tun Perpatih Tulus.

1376 - 1377 : Seorang raja diangkat oleh Maharaja China bagi memerintah Temasik (Singapura). Pada tahun 1366, wilayah ini diserang dan dimusnahkan dalam serangan dari Palembang.
-------------------------------------------------------------------------------
1377 - 1400 : Paduka Sri Maharaja Vikramavira, Raja Temasik. Menggunakan gelaran Raja Kecil Besar. Baginda berkahwin dengan Puteri Nila Panchadi, puteri Kalinga Jamburga Rama Mudaliar (putera Adi Wiranama Raja Mudaliar yang mempunyai pertalian dengan Raja Suran). Baginda meninggalkan waris:

i) Desa Raja, ditabal sebagai Paduka Sri Maharaja, Raja Parameswara di Temasik.

1400 - 1414 : Paduka Sri Maharaja, Raja Parameswara di Temasik. Menggunakan gelaran Raja Kecil Besar Paduka Sri Pekerma Di Raja. Baginda ditabal selepas kemangkatan ayahandanya pada tahun 1403. Baginda mangkat di Melaka pada 1414 dan meninggalkan waris Raja Muda Raja Sri Rama Vikrama. Baginda ditabal sebagai Sultan dengan nama Sultan Iskandar Zulkarnain Shah. 
---------------------------------------------------------------------------------
1414 - 1424 : Sultan Sri Iskandar Zulkarnain Shah, Raja Temasik dan Sultan Melaka. Baginda dikatakan pernah melawat Negara China pada tahun 1411 dan 1419. Baginda pernah memerintah tiga tahun di Temasik dan 20 tahun di Melaka. Baginda mengahwini:

a) Puteri Tun Perpatih Tulus
b) Puteri Tengku Sulaiman, Raja Patani.

Daripada Puteri Tun Perpatih Tulus, mewariskan:
 
1) Raja Besar Muda,

2) Raden Tengah, dikenali sebagai Paduka Sri Maharaja Sultan Muhammad Shah
Sultan Melaka.

3) Raden Anum, Bendahara Sri Amar Di Raja, 

4) Raden Bala.
-------------------------------------------------------------------------------
1424 - 1444 : Paduka Sri Maharaja Sultan Muhammad Shah, (Sultan Melaka Pertama).
Selepas baginda memeluk Islam, beliau digelar Paduka Seri Sultan. Baginda dikatakan memerintah 57 tahun. Baginda mewariskan: 

1) Raja Kecil Mambang Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah.

2) Raja Hitam

3) Raja Abu Kassim, dikenali sebagai Sultan Muzzaffar Shah Ibni Almarhum
Sultan Muhammad Shah
(Sultan of Melaka kedua) (putera Tun Ratna Wati).
--------------------------------------------------------------------------------
1444 - 1459 : Paduka Sri Sultan Muzzaffar Shah Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah. (Sultan of Melaka kedua). Baginda mewariskan: 

1) Raja Abdullah, dikenali sebagai Paduka Sri Sultan Mansur Shah Ibni
Almarhum Sultan Muzzaffar Shah, (Sultan Melaka ketiga)
(putera Raja Tua).

-------------------------------------------------------------------------------
1459 - 1477 : Paduka Seri Sultan Mansur Shah Ibni Almarhum Sultan Muzzaffar Shah. (Sultan of Melaka ketiga).
Lahir pada 1406. Baginda ditabal sebagai Sultan Melaka pada 1459. Baginda menakluk Pahang, Kampar (Sumatera) and Siak. Baginda mengahwini:

a) Puteri Wanang Sri Lela Wangsa, puteri Maharaja Dewa Surya, pemerintah Pahang yang mempunyai hubungan darah dengan Raja Siam, perkahwinan ini melahirkan 2 putera.

b) Raden Galoh Chandra Kirana, gadis Jawa, puteri Sang Aji-ningrat, Betara Mahapahit,

c) Anak perempuan Bendahara.

d) Puteri Hang Li Po, a Puteri dari Negara China.

5) Tun Putih, anak perempuan Sri Nara Di Raja, 

Baginda mewariskan: 

1) Raja Ahmad, dikenali Sultan Muhammad Shah I Ibni Almarhum Sultan Mansur
Shah, Sultan Pahang
(anak Puteri Wanang Lela Wangsa). Beliau dihantar ke Pahang oleh ayahandanya kerana membunuh anak Bendahara dalam peristiwa bermain bola takraw.

2) Raja Muhammad Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah. 

3) Raja Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah. Baginda terbunuh ketika cuba menahan lelaki amuk.

4) Raden Gegling @ Ratu Di Klang (anak Raden Galoh Chandra Kirana). Juga terbunuh dalam kejadian amuk.

5) Paduka Mimat (anak Puteri Hang Li Po). Baginda mewariskan
     a) Paduka Sri China, Pemerintah Langkat. Baginda mewariskan
         i) Paduka Ahmad, memerintah Jeram, Selangor.

6) Raja Hussain (Raden), dikenali sebagai Sultan Alauddin Ri'ayat Shah Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah, (Sultan of Melaka keempat).

7) Raja Bakal binti Almarhum Sultan Mansur Shah 

8) Raja Maha Dewi binti Almarhum Sultan Mansur Shah

9) Raja Chandra binti Almarhum Sultan Mansur Shah.
--------------------------------------------------------------------------------
1477 - 1488 : Paduka Sri Sultan Ala'uddin Ri'ayat Shah Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah. (Sultan of Melaka kelima).
Mangkat pada 1456. Baginda mewariskan:

1) Sultan Munawar Shah Ibni Almarhum Sultan Ala'uddin Shah, 

2) Raja Muhammad, dikenali sebagai Sultan Mahmud Shah I Ibni Almarhum
Sultan Ala'uddin Ri'ayat Shah,
(Sultan of Melaka keenam) dan Sultan Johor.

3) Raja Zainal Ibni Almarhum Sultan Ala'uddin Ri'ayat Shah 

4) Raja Hitam binti Almarhum Sultan Ala'uddin Ri'ayat Shah.

5) Raja Fatimah binti Almarhum Sultan Ala'uddin Ri'ayat Shah berkahwin dengan Raja Ahmad Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah, anak kedua Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah, Sultan Pahang.

--------------------------------------------------------------------------------
1488 - 1528 : Paduka Sri Sultan Mahmud Shah I Ibni Almarhum Sultan Ala'uddin Ri'ayat Shah (Sultan of Melaka keenam) dan Sultan Johor.

Baginda berundur dari Melaka selepas diserang Portugis pada 24 Julai 1511. Baginda memindahkan pusat pemerintahan di Muar, Johor. Pemerintahan baginda juga diserang Portugis pada 1526 lalu berpindah ke Kampar di Sumatera, Indonesia. Baginda mangkat di Kampar (dikenali sebagai Marhum Kampar) pada 1530.

Baginda berkahwin dengan ramai isteri:

a) Sepupu pertama baginda, Raja Wati binti Almarhum Sultan Muhammad Shah,
puteri Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah, Sultan Pahang.

(b) Puteri Unang Kening binti Almarhum Sultan Mansur Shah, puteri sulung Sultan Mansur Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sultan Kelantan.
 
(c) Tun Kudu @ Datuk Putih, anak perempuan Tun Tahir, Bendahara Sri Nara Di Raja.

(d) Tun Sabariah (atau Tun Birah), anak perempuan Laksamana.

(e) Tun Teja, pada 1494, anak perempuan Bendahara of Pahang.

(f) Tun Fatimah, bekas isteri Tun Ali anak perempuan Bendahara Sri Maharaja yang mana diperintah bunuh oleh Sultan Mahmud Shah.

Baginda mewariskan:

1) Sultan Ahmad @ Raja Mah Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah (anak Puteri Unang Kening). Baginda terbunuh dalam perang Portugis di Melaka.

2) Raja Kassim, dikenali sebagai Paduka Seri Sultan Muzzaffar Shah Ibni
Almarhum Sultan Mahmud Shah
, ditabal sebagai Sultan of Perak pertama. (anak Puteri Unang Kening). daripada sini lahir keturunan Sultan Perak daripada keturunan Sultan Melaka. 

3) Raja Ala'uddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah (putera Tun Fatimah). 

4) Raja Raden Ali, dikenali sebagai Sultan Ala'uddin Ri'ayat Shah II Ibni Almarhum
Sultan Mahmud Shah
, Sultan Johor (putera Tun Fatimah).

5) Raja Nara Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah (putera Puteri Unang Kening).

6) Puteri (Kekanda Sultan Ahmad), berkahwin dengan Sultan Abdullah of Kampar.

7) Puteri (puteri Puteri Unang Kening), 

8) Raja Fatimah (atau Putri Mah') binti Almarhum Sultan Mahmud Shah (puteri Puteri
Unang Kening),

9) Raja Amar Dewi binti Almarhum Sultan Mahmud Shah (puteri Tun Teja).

10) Raja Kamala Dewi binti Almarhum Sultan Mahmud Shah (puteri Puteri Unang Kening)
berkahwin dengan Raja Ahmad bin Raja Muhammad, Raja of Terengganu, putera Raja
Muhammad Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah, Sultan Terengganu.

11) Raja Sri Dewi binti Almarhum Sultan Mahmud Shah (puteri Puteri Unang Kening),
berkahwin dengan Raja Ahmad Ibni Almarhum Sultan Gombak, Raja Kelantan (mangkat pada 
1547), putera Sultan Gombak Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah, Sultan Kelantan.

12) Raja Dewi binti Almarhum Sultan Mahmud Shah (puteri Tun Sabariah), berkahwin dengan
Sultan Zainal Abidin Shah Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah, Sultan Pahang

13) Raja Puteh binti Sultan Mahmud Shah (puteri Tun Fatimah), berkahwin dengan Sultan
Hussain dari Haru.

14) Raja Khadijah binti Almarhum Sultan Mahmud Shah (puteri Tun Fatimah), berkahwin di 
Bentan, sebagai isteri kedua Sultan Mahmad Ibni Alamrhum Sultan Muhammad Shah, Sultan Pahang (mangkat 1530), putera muda Sultan Muhammad Shah, Sultan Pahang.

Monday, May 12, 2008

Kenapa Melayu Pantang Menderhaka Kepada Raja?

Persoalan ini sering bermain di kepala sejak sekian lama. Sekiranya dibandingkan dengan bangsa lain yang sudah menukar corak pemerintahan beraja kepada sistem republik, bangsa Melayu masih menjaga sultan walaupun sejarah merekodkan ada juga sultan pernah berlaku tidak adil kepada rakyatnya.

Persoalan ini terjawab apabila Dato' Seri Wan Hj. Abdul Wahid bin Wan Hassan menerangkan Sejarah Melayu sekaligus mengaitkan hubungan Raja dengan bangsa Melayu. Cerita ini tidak dapat dipastikan kesahihannya, tetapi cukuplah sekadar perkongsian ilmiah supaya difahami dengan logik akal.

Menurut Sejarah Melayu, ia berlaku apabila Raja Suran berketurunan Iskandar Zulkarnain masuk ke dalam laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri, puteri raja Aftabul 'Ard kerajaan Basram di bawah laut. Hasil daripada perkahwinan ini, lahir tiga orang anak, Nila Pahlawan, Kerishna Pendita dan Nila Utama. Mereka dikatakan muncul di Bukit Siguntang, di tengah Sungai Melayu yang hulunya di Gunung Maha Miru, dekat padang Penjaringan dalam negeri Palembang (pada waktu itu, negeri ini dikenali sebagai kerajaan Buddha Sriwijaya sebelum kemunculan kerajaan Hindu Majapahit).

Setelah mereka muncul di Bukit Siguntang, Palembang, tiga beradik ini bertemu dua orang wanita, Wan Empok dan Wan Walini yang sedang berladang di sana. Dipendekkan cerita, Wan Empok berkahwin dengan Nila Pahlawan, Wan Malini dengan Kerishna Pendita. Nila Utama pula mendapat gelaran baru sebagai Sang Si Perba.

Menurut Sejarah Melayu, pada masa itu Palembang sedang diperintah oleh seorang raja yang dipanggil Demang Lebar Daun. Apabila mendengar khabar ada anak raja besar keturunan Iskandar Zulkarnain turun di Bukit Siguntang, baginda pun terus ke sana untuk bertemu-muka dan mengambil berkat kebesaran anak raja itu.

Berita ini tersebar jauh ke merata tempat sehingga raja-raja lain pun turut sama bertumpu ke situ. Sesetengah raja datang membawa kaum keluarga mereka. Maka Sang Si Perba pun mengambil mana-mana puteri raja yang elok untuk dibuat isteri dan mereka menerima sahaja kerana rasa bertuah bermenantukan anak cucu Iskandar Zulkarnain. Malangnya, semua puteri ini kedal setelah “dijamah” baginda (Tak pasti 'kedal' penyakit apa. Mengikut ceritanya, ini berlaku disebabkan ketinggian daulat baginda).

Tersebutlah nama Wan Sendari anak Demang Lebar Daun yang cantik paras rupa. Sang Si Perba ingin memperisterikannya tetapi si bapa pula takut puterinya pun akan kedal juga. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau anak patek tuanku peristeri, nescaya kedal ia. Tetapi jikalau tuanku mahu berwa’adat (berjanji sumpah setia) dengan patek, maka patek persembahkan anak patek ke bawah duli Yang di-Pertuan.”

Mengikut Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun adalah orang yang pertama menggunakan bahasa “Yang di Pertuan” dan “Patek” apabila bercakap dengan raja, kerana Sang Si Perba itu keturunan raja-raja besar... Maka titah Sang Si Perba: “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”

Sembah Demang Lebar Daun: “Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang di-Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinusta dengan kata-kata jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Shara’.”

Sang Si Perba pun bertitah: “Akan minta bapa itu hamba kabulkanlah. Tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba...”“Janji yang mana itu, tuanku?”“Hendaklah akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun”. “Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patek pun mengubahkanlah.”Titah Sang Si Perba: “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”

Mereka pun bersumpah-sumpahan serta berteguh janji, barang siapa yang mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, tiangnya ke atas. Itulah sebabnya anak Melayu tidak boleh derhaka kepada raja walau seburuk-mana sekali pun perangai raja itu... Kalau derhaka, maka tulah dimakan sumpah. Raja pula tidak boleh memberi aib atau malu terhadap anak Melayu walau besar mana sekali pun kesalahannya. Kalau dilakukan juga, raja itu akan jatuh juga nanti.


Pihak Istana Prihatin Dengan Silat

Pada 10 Mei 2008, berlangsung Seminar Sembah Diraja: Adat, Adab & Istiadat Melayu di Cherating Bay Resort. Seminar itu menjadi cukup bermakna dengan kehadiran Yang Dihormati Dato' Sri Wan Hj. Abdul Wahid Wan Hj. Hassan, Orang Kaya Indera Pahlawan Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang merangkap Penasihat Silat Melayu Keris Lok Sembilan. Kehadiran beliau membuktikan hubungan pihak istana dengan perguruan silat tetap kukuh walaupun ditelan zaman.

Di dalam seminar tersebut beliau menerangkan adat dan istiadat serta protokol semasa menghadap sultan, kod pakaian, sejarah sultan bermula dari zaman Khilafah Bani Umaiyah, Bani Abbasiah seterusnya kepada salasilah kesultanan DYMM Sultan Pahang. Di situ beliau menerangkan 'Kenapa Melayu tidak boleh menderhaka sultan.' Majlis diakhiri dengan Seminar Keris oleh Azlan Ghanie dan diikuti dengan persembahan silat di tepi kolam renang. Majlis lebih berseri dengan kehadiran kumpulan gendang Pahang daripada Perguruan Pencak Silat Sangkar Rewana. Pembukaan dimulakan oleh Cikgu Mazlan Haji Hashim kemudian diikuti persembahan Selangkah Guru oleh Perguruan Silat Melayu Keris Lok Sembilan. Persembahan ditutup oleh Cikgu Zul Mat Lela daripada Perguruan Pencak Silat Sangkar Rewana.

Dato' Seri Wan Hj. Abdul Wahid kelihatan gembira dan terpesona persembahan silat. Lebih mempesonakan apabila beliau turut turun bermain gendang bersama kumpulan gendang silat. Menurut Cikgu Mazlan beliau juga arif dengan Silat Melayu.

Tiada ucapan yang dapat diluahkan atas keprihatinan beliau pada Silat Melayu. Menurut Azlan Ghanie, Dato' Sri Wan akan membawa perguruan-perguruan silat menghadap DYMM Sultan Pahang apabila guru-guru silat dapat dikumpulkan sehingga melebihi 200 orang. Semoga hubungan silat dengan pihak istana berterusan sekaligus membuktikan silat tetap relevan di mata DYMM Sultan.

Saturday, March 15, 2008

Impak PRU12 Perlukah Orang Silat Turut Serta?

Sebaik sahaja Pilihanraya Umum Ke-12 berakhir dengan 5 pukulan berturut-turut dengan menjatuhkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan, kesannya amat dirasai diseluruh negara. Rata-rata cuba mengaitkan dengan perkauman kerana melihat perubahan besar yang dibuat dalam PRU kali ini adalah daripada pengundi bukan Melayu.

Permulaan awal adalah kesan tunjuk perasaan daripada kumpulan HINDRAF yang menuntut hak mereka sebagai kaum India di bumi Malaysia. Ini dihangatkan lagi apabila dakwaan sesetengah pihak bahawa DAP cuba memegang tampuk menteri besar sedangkan perlembagaan negeri Perak menetapkan jawatan menteri besar mestilah daripada bangsa Melayu. Sebaik penguasaan DAP di Pulau Pinang, antara langkah terawal adalah memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah lama berkarat dalam minda Melayu. Kes terbaru semasa blog ini ditulis adalah kebangkitan orang Melayu di Pulau Pinang yang menuntut supaya pemansuhan DEB ditarik balik.

Apabila bersembang dengan rakan-rakan, baik secara bersemuka ataupun secara maya, masing-masing meluahkan rasa bimbang sekiranya tragedi 13 Mei 1969 berulang kembali. Masing-masing cuba mempersiapkan diri bagi menghadapi segala kemungkinan. Ada jua sesetengah rakan melaungkan persiapan bagi menghadapinya.

Bagi penulis, sebarang tindakan yang memburukkan lagi keadaan perlu dielakkan. Orang silat tidak semestinya mempamerkan kekuatan dengan pertarungan berdarah, tetapi orang silat perlu bijak mengatasi masalah dengan menggunakan akal. Ini bukan masanya untuk kita mempamerkan diri sebagai 'hero' sebaliknya ini adalah masa orang silat bersikap tenang, memantau situasi dan mempertimbangkan segala kemungkinan yang bakal diambil. Di Malaysia kita masih ada Raja Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan dan semuanya masih berjalan dengan baik. Selagi ianya tidak diusik, adalah tidak perlu bagi kita mengusik sesiapa.

Kita mengakui hak Melayu sebagai bangsa peribumi di Malaysia ini dan pada masa yang sama kita bertanggungjawab menjaga 'tetamu' yang wajib bagi kita layani dan hormati. Masing-masing mempunyai peranan dalam membangunkan negara. Tidak dinafikan kita juga memerlukan khidmat dan pertolongan mereka apabila memerlukan. Jagalah hubungan ini dan elakkan daripada menambah kontroversi. Kita masih ada pihak berkuasa yang bertugas membendung daripada berlaku perkara yang tidak diingini. Awasi sesetengah pihak yang cuba membuat menghasut kepada pertelingkahan dan tunjuk perasaan yang boleh mengundang padah. Golongan ini cuba menangguk di air keruh dengan menggunakan orang silat sebagai 'batang pisang' yang melindungi kepentingan mereka. Bagi saya, selagi belum ada isyarat yang menunjukkan orang silat perlu bangkit mempertahankan bangsa, lebih baik kita berdiam diri dan memerhatikan keadaan sekeliling. Saya percaya, taat orang silat kepada Raja Melayu masih tidak berbelah bahagi. Sayangi diri, sayangi keluarga dan sayangi negara.

Monday, March 3, 2008

Human Weapon Bakal Ditayangkan Di Malaysia


Khamis, 28 Februari 2008, wakil History Channel Malaysia mengadakan sidang media bersama wartawan dan melancarkan siri dokumentari ini dalam suasana sederhana di Villa Manja Spa, Jalan Damai, Kuala Lumpur. Peminat beladiri Human Weapon kini boleh menontonnya di saluran History Channel (Ch555) pada 13 Mac nanti.

Majlis dimulakan dengan persembahan persembahan demonstrasi daripada tiga perguruan silat yang hadir. Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia yang pimpin oleh guru Jazuan membuka tari sembah diikuti dengan aksi tempur. Lian Padukan dipimpin oleh Guru Yazid Abd Rani dengan gerakan perguruan dan aksi tempur. Silat Melayu Keris Lok Sembilan dipimpin oleh Imran Azmi melakukan sembah perguruan dan permainan keris.

Seterusnya wartawan dihidangkan dengan tayangan video Human Weapon: Martial Art of Malaysia selama sejam. Beberapa pembetulan telah dibuat seperti maklumat salah mengenai Lian Padukan telah dipotong oleh penerbit. Manakala komen lain seperti pulau Malaysia, 9 juta pesilat gayung dalam pasukan tentera dan polis berjalan seperti biasa. Sebaik sahaja tayangan tamat, Azlan Ghanie selaku perunding Human Weapon Silat membuka ruang kepada wartawan bertanya soalan.

Akhir sekali, majlis ditutup dengan demostrasi memecah genting oleh pesilat Seni Silat Gayung Malaysia dan bersurai.

Selamat menonton.

Wednesday, February 6, 2008

Festival Seni Mempertahankan Diri Ekstrem Antarabangsa KL 2008 (Klimax08) bakal diadakan Ogos ini


ERAT HUBUNGAN: Soh Byung Yong bersalam dengan Omar Din ketika kunjungan hormat rombongan Kesatuan Bela Diri Dunia ke rumah Mahaguru Omardin di Kampung Puah.

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Seni Mempertahankan Diri Dunia (WoMAU), Soh Byung-yong bersalaman dengan Mahaguru dan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Datuk Omardin Mauju ketika kunjungan rombongan WoMAU dari Korea Selatan di kediamannya, di sini. Rombongan itu berada selama seminggu di Kuala Lumpur bagi meninjau persiapan Kuala Lumpur yang bakal menganjurkan Festival Seni Mempertahankan Diri Ekstrem Antarabangsa KL 2008 (Klimax08) yang dijangka berlangsung Ogos ini.


Soh berkata, WoMAU menyokong hasrat Malaysia menganjurkan Klimax08 kerana ia akan memberi faedah kepada masyarakat dan penggiat seni mempertahankan diri seluruh dunia. Omardin pula mengucapkan terima kasih kepada WoMAU kerana memberi kepercayaan kepada Malaysia menganjurkan Klimax08 yang mirip kepada Festival Seni Mempertahankan Diri Dunia yang berlangsung setiap tahun di Chungju, Korea Selatan. ~Berita Harian