Monday, May 12, 2008

Kenapa Melayu Pantang Menderhaka Kepada Raja?

Persoalan ini sering bermain di kepala sejak sekian lama. Sekiranya dibandingkan dengan bangsa lain yang sudah menukar corak pemerintahan beraja kepada sistem republik, bangsa Melayu masih menjaga sultan walaupun sejarah merekodkan ada juga sultan pernah berlaku tidak adil kepada rakyatnya.

Persoalan ini terjawab apabila Dato' Seri Wan Hj. Abdul Wahid bin Wan Hassan menerangkan Sejarah Melayu sekaligus mengaitkan hubungan Raja dengan bangsa Melayu. Cerita ini tidak dapat dipastikan kesahihannya, tetapi cukuplah sekadar perkongsian ilmiah supaya difahami dengan logik akal.

Menurut Sejarah Melayu, ia berlaku apabila Raja Suran berketurunan Iskandar Zulkarnain masuk ke dalam laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri, puteri raja Aftabul 'Ard kerajaan Basram di bawah laut. Hasil daripada perkahwinan ini, lahir tiga orang anak, Nila Pahlawan, Kerishna Pendita dan Nila Utama. Mereka dikatakan muncul di Bukit Siguntang, di tengah Sungai Melayu yang hulunya di Gunung Maha Miru, dekat padang Penjaringan dalam negeri Palembang (pada waktu itu, negeri ini dikenali sebagai kerajaan Buddha Sriwijaya sebelum kemunculan kerajaan Hindu Majapahit).

Setelah mereka muncul di Bukit Siguntang, Palembang, tiga beradik ini bertemu dua orang wanita, Wan Empok dan Wan Walini yang sedang berladang di sana. Dipendekkan cerita, Wan Empok berkahwin dengan Nila Pahlawan, Wan Malini dengan Kerishna Pendita. Nila Utama pula mendapat gelaran baru sebagai Sang Si Perba.

Menurut Sejarah Melayu, pada masa itu Palembang sedang diperintah oleh seorang raja yang dipanggil Demang Lebar Daun. Apabila mendengar khabar ada anak raja besar keturunan Iskandar Zulkarnain turun di Bukit Siguntang, baginda pun terus ke sana untuk bertemu-muka dan mengambil berkat kebesaran anak raja itu.

Berita ini tersebar jauh ke merata tempat sehingga raja-raja lain pun turut sama bertumpu ke situ. Sesetengah raja datang membawa kaum keluarga mereka. Maka Sang Si Perba pun mengambil mana-mana puteri raja yang elok untuk dibuat isteri dan mereka menerima sahaja kerana rasa bertuah bermenantukan anak cucu Iskandar Zulkarnain. Malangnya, semua puteri ini kedal setelah “dijamah” baginda (Tak pasti 'kedal' penyakit apa. Mengikut ceritanya, ini berlaku disebabkan ketinggian daulat baginda).

Tersebutlah nama Wan Sendari anak Demang Lebar Daun yang cantik paras rupa. Sang Si Perba ingin memperisterikannya tetapi si bapa pula takut puterinya pun akan kedal juga. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau anak patek tuanku peristeri, nescaya kedal ia. Tetapi jikalau tuanku mahu berwa’adat (berjanji sumpah setia) dengan patek, maka patek persembahkan anak patek ke bawah duli Yang di-Pertuan.”

Mengikut Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun adalah orang yang pertama menggunakan bahasa “Yang di Pertuan” dan “Patek” apabila bercakap dengan raja, kerana Sang Si Perba itu keturunan raja-raja besar... Maka titah Sang Si Perba: “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”

Sembah Demang Lebar Daun: “Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang di-Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinusta dengan kata-kata jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Shara’.”

Sang Si Perba pun bertitah: “Akan minta bapa itu hamba kabulkanlah. Tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba...”“Janji yang mana itu, tuanku?”“Hendaklah akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun”. “Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patek pun mengubahkanlah.”Titah Sang Si Perba: “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”

Mereka pun bersumpah-sumpahan serta berteguh janji, barang siapa yang mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, tiangnya ke atas. Itulah sebabnya anak Melayu tidak boleh derhaka kepada raja walau seburuk-mana sekali pun perangai raja itu... Kalau derhaka, maka tulah dimakan sumpah. Raja pula tidak boleh memberi aib atau malu terhadap anak Melayu walau besar mana sekali pun kesalahannya. Kalau dilakukan juga, raja itu akan jatuh juga nanti.


Pihak Istana Prihatin Dengan Silat

Pada 10 Mei 2008, berlangsung Seminar Sembah Diraja: Adat, Adab & Istiadat Melayu di Cherating Bay Resort. Seminar itu menjadi cukup bermakna dengan kehadiran Yang Dihormati Dato' Sri Wan Hj. Abdul Wahid Wan Hj. Hassan, Orang Kaya Indera Pahlawan Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang merangkap Penasihat Silat Melayu Keris Lok Sembilan. Kehadiran beliau membuktikan hubungan pihak istana dengan perguruan silat tetap kukuh walaupun ditelan zaman.

Di dalam seminar tersebut beliau menerangkan adat dan istiadat serta protokol semasa menghadap sultan, kod pakaian, sejarah sultan bermula dari zaman Khilafah Bani Umaiyah, Bani Abbasiah seterusnya kepada salasilah kesultanan DYMM Sultan Pahang. Di situ beliau menerangkan 'Kenapa Melayu tidak boleh menderhaka sultan.' Majlis diakhiri dengan Seminar Keris oleh Azlan Ghanie dan diikuti dengan persembahan silat di tepi kolam renang. Majlis lebih berseri dengan kehadiran kumpulan gendang Pahang daripada Perguruan Pencak Silat Sangkar Rewana. Pembukaan dimulakan oleh Cikgu Mazlan Haji Hashim kemudian diikuti persembahan Selangkah Guru oleh Perguruan Silat Melayu Keris Lok Sembilan. Persembahan ditutup oleh Cikgu Zul Mat Lela daripada Perguruan Pencak Silat Sangkar Rewana.

Dato' Seri Wan Hj. Abdul Wahid kelihatan gembira dan terpesona persembahan silat. Lebih mempesonakan apabila beliau turut turun bermain gendang bersama kumpulan gendang silat. Menurut Cikgu Mazlan beliau juga arif dengan Silat Melayu.

Tiada ucapan yang dapat diluahkan atas keprihatinan beliau pada Silat Melayu. Menurut Azlan Ghanie, Dato' Sri Wan akan membawa perguruan-perguruan silat menghadap DYMM Sultan Pahang apabila guru-guru silat dapat dikumpulkan sehingga melebihi 200 orang. Semoga hubungan silat dengan pihak istana berterusan sekaligus membuktikan silat tetap relevan di mata DYMM Sultan.

Saturday, March 15, 2008

Impak PRU12 Perlukah Orang Silat Turut Serta?

Sebaik sahaja Pilihanraya Umum Ke-12 berakhir dengan 5 pukulan berturut-turut dengan menjatuhkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan, kesannya amat dirasai diseluruh negara. Rata-rata cuba mengaitkan dengan perkauman kerana melihat perubahan besar yang dibuat dalam PRU kali ini adalah daripada pengundi bukan Melayu.

Permulaan awal adalah kesan tunjuk perasaan daripada kumpulan HINDRAF yang menuntut hak mereka sebagai kaum India di bumi Malaysia. Ini dihangatkan lagi apabila dakwaan sesetengah pihak bahawa DAP cuba memegang tampuk menteri besar sedangkan perlembagaan negeri Perak menetapkan jawatan menteri besar mestilah daripada bangsa Melayu. Sebaik penguasaan DAP di Pulau Pinang, antara langkah terawal adalah memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah lama berkarat dalam minda Melayu. Kes terbaru semasa blog ini ditulis adalah kebangkitan orang Melayu di Pulau Pinang yang menuntut supaya pemansuhan DEB ditarik balik.

Apabila bersembang dengan rakan-rakan, baik secara bersemuka ataupun secara maya, masing-masing meluahkan rasa bimbang sekiranya tragedi 13 Mei 1969 berulang kembali. Masing-masing cuba mempersiapkan diri bagi menghadapi segala kemungkinan. Ada jua sesetengah rakan melaungkan persiapan bagi menghadapinya.

Bagi penulis, sebarang tindakan yang memburukkan lagi keadaan perlu dielakkan. Orang silat tidak semestinya mempamerkan kekuatan dengan pertarungan berdarah, tetapi orang silat perlu bijak mengatasi masalah dengan menggunakan akal. Ini bukan masanya untuk kita mempamerkan diri sebagai 'hero' sebaliknya ini adalah masa orang silat bersikap tenang, memantau situasi dan mempertimbangkan segala kemungkinan yang bakal diambil. Di Malaysia kita masih ada Raja Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan dan semuanya masih berjalan dengan baik. Selagi ianya tidak diusik, adalah tidak perlu bagi kita mengusik sesiapa.

Kita mengakui hak Melayu sebagai bangsa peribumi di Malaysia ini dan pada masa yang sama kita bertanggungjawab menjaga 'tetamu' yang wajib bagi kita layani dan hormati. Masing-masing mempunyai peranan dalam membangunkan negara. Tidak dinafikan kita juga memerlukan khidmat dan pertolongan mereka apabila memerlukan. Jagalah hubungan ini dan elakkan daripada menambah kontroversi. Kita masih ada pihak berkuasa yang bertugas membendung daripada berlaku perkara yang tidak diingini. Awasi sesetengah pihak yang cuba membuat menghasut kepada pertelingkahan dan tunjuk perasaan yang boleh mengundang padah. Golongan ini cuba menangguk di air keruh dengan menggunakan orang silat sebagai 'batang pisang' yang melindungi kepentingan mereka. Bagi saya, selagi belum ada isyarat yang menunjukkan orang silat perlu bangkit mempertahankan bangsa, lebih baik kita berdiam diri dan memerhatikan keadaan sekeliling. Saya percaya, taat orang silat kepada Raja Melayu masih tidak berbelah bahagi. Sayangi diri, sayangi keluarga dan sayangi negara.

Monday, March 3, 2008

Human Weapon Bakal Ditayangkan Di Malaysia


Khamis, 28 Februari 2008, wakil History Channel Malaysia mengadakan sidang media bersama wartawan dan melancarkan siri dokumentari ini dalam suasana sederhana di Villa Manja Spa, Jalan Damai, Kuala Lumpur. Peminat beladiri Human Weapon kini boleh menontonnya di saluran History Channel (Ch555) pada 13 Mac nanti.

Majlis dimulakan dengan persembahan persembahan demonstrasi daripada tiga perguruan silat yang hadir. Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia yang pimpin oleh guru Jazuan membuka tari sembah diikuti dengan aksi tempur. Lian Padukan dipimpin oleh Guru Yazid Abd Rani dengan gerakan perguruan dan aksi tempur. Silat Melayu Keris Lok Sembilan dipimpin oleh Imran Azmi melakukan sembah perguruan dan permainan keris.

Seterusnya wartawan dihidangkan dengan tayangan video Human Weapon: Martial Art of Malaysia selama sejam. Beberapa pembetulan telah dibuat seperti maklumat salah mengenai Lian Padukan telah dipotong oleh penerbit. Manakala komen lain seperti pulau Malaysia, 9 juta pesilat gayung dalam pasukan tentera dan polis berjalan seperti biasa. Sebaik sahaja tayangan tamat, Azlan Ghanie selaku perunding Human Weapon Silat membuka ruang kepada wartawan bertanya soalan.

Akhir sekali, majlis ditutup dengan demostrasi memecah genting oleh pesilat Seni Silat Gayung Malaysia dan bersurai.

Selamat menonton.

Wednesday, February 6, 2008

Festival Seni Mempertahankan Diri Ekstrem Antarabangsa KL 2008 (Klimax08) bakal diadakan Ogos ini


ERAT HUBUNGAN: Soh Byung Yong bersalam dengan Omar Din ketika kunjungan hormat rombongan Kesatuan Bela Diri Dunia ke rumah Mahaguru Omardin di Kampung Puah.

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Seni Mempertahankan Diri Dunia (WoMAU), Soh Byung-yong bersalaman dengan Mahaguru dan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Datuk Omardin Mauju ketika kunjungan rombongan WoMAU dari Korea Selatan di kediamannya, di sini. Rombongan itu berada selama seminggu di Kuala Lumpur bagi meninjau persiapan Kuala Lumpur yang bakal menganjurkan Festival Seni Mempertahankan Diri Ekstrem Antarabangsa KL 2008 (Klimax08) yang dijangka berlangsung Ogos ini.


Soh berkata, WoMAU menyokong hasrat Malaysia menganjurkan Klimax08 kerana ia akan memberi faedah kepada masyarakat dan penggiat seni mempertahankan diri seluruh dunia. Omardin pula mengucapkan terima kasih kepada WoMAU kerana memberi kepercayaan kepada Malaysia menganjurkan Klimax08 yang mirip kepada Festival Seni Mempertahankan Diri Dunia yang berlangsung setiap tahun di Chungju, Korea Selatan. ~Berita Harian

Wednesday, December 26, 2007

JEMPUTAN KE KEJOHANAN PENCAK SILAT UNIVERSITI ANTARABANGSA 2008 (INTERNATIONAL UNIVERSITY PENCAK SILAT CHAMPIONSHIP 2008)



Kepada semua siswa dan siswi universiti di seluruh dunia! Anda dijemput menyahut cabaran Kejohanan Pencak Silat Universiti Antarabangsa 2008.

Tarikh :
26-30 Mac 2008 (empat hari)
Tempat:
Dewan Utama, Universiti Multimedia Cyberjaya, Malaysia.
Anjuran:
Persatuan Silat Seni Gayung Multimedia Universiti (PSSGM MMU)
Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
Dengan Kerjasama:
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT)
Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan (PESAKA)
Telekom Malaysia Berhad (TM)

Sinopsis
Kejohanan Pencak Silat Universiti Antarabangsa 2008 (KPS 08) adalah lanjutan daripada Pencak Silat Tournament Multimedia University 2007. Kali ini, Persatuan Silat Seni Gayung Multimedia Universiti (PSSGM MMU) dengan bangganya menganjurkan kejohanan berprestij ini.

Fokus
Mencari bakat baru dalam arena silat olahraga dan silat seni. Kejohanan ini diharap melahirkan juara baru di peringkat Sukan Sea, Sukan Komanwell dan sebagainya. Sebanyak 24 pingat emas, 24 pingat perak dan 42 pingat gangsa ditawarkan bagi 24 kategori yang dipertandingkan.
Perkembangan
Tiga puluh pasukan daripada 16 negara dijangka menyertai Kejohanan ini. Setakat ini 18 pasukan termasuk 4 pasukan luar negara dan 14 pasukan tempatan mengesahkan penyertaan. Negara luar yang mengesahkan penyertaan adalah Azerbaijan, India, Indonesia dan Singapura.

Borang dan syarat dan peraturan boleh melawati di http://pssgm.mmu.edu.my/kps08
Maklumat lanjut sila hubungi:
Noordiana binti Ahmad,
Emel: ms.noordiana@yahoo.com
Tel: +6012-4346003
Penolong Pengarah II,
Kejohanan Pencak Silat Universiti Antarabangsa 2008.
(International University Pencak Silat Championship 2008)

TRANSFORMASI SILAT

Mahu ataupun tidak mahu, silat tetap mengalami transformasi dari masa ke semasa. Ia mungkin bergerak secara perlahan dan mungkin juga bergerak pantas mengikut keperluan. Hingga kini, mencari silat Melayu asli adalah lebih sukar daripada mendakwa sesuatu perguruan itu asli. Ini kerana, setiap zaman silat akan menyesuaikan 'dirinya' dengan keadaan tanpa merubah identiti asalnya. Maksudnya, silat akan berhadapan dengan beladiri global yang lebih pragmatik, efektif dan tolenrasi dengan suasana persekitaran pertempuran ataupun gelanggang. Tokoh-tokoh guru biasanya membuat kajian (tidak pasti orang tua dulu-dulu panggil apa) mengenai cara menghadapi serangan daripada perguruan asing selain daripada adunan serang bela daripada perguruannya sendiri. Selain melibatkan pada susunan buah, kuncian dan sebagainya, perubahan juga turut melibatkan pengurusan, pentadbiran dan pengaruh politik dalam sesebuah perguruan. Oleh itu, adalah sukar mendakwa silat itu hampir pupus atau sudah tiba ke penghujungnya melainkan silat itu pupus bersama guru yang tiada penggantinya.