Saturday, March 15, 2008

Impak PRU12 Perlukah Orang Silat Turut Serta?

Sebaik sahaja Pilihanraya Umum Ke-12 berakhir dengan 5 pukulan berturut-turut dengan menjatuhkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan, kesannya amat dirasai diseluruh negara. Rata-rata cuba mengaitkan dengan perkauman kerana melihat perubahan besar yang dibuat dalam PRU kali ini adalah daripada pengundi bukan Melayu.

Permulaan awal adalah kesan tunjuk perasaan daripada kumpulan HINDRAF yang menuntut hak mereka sebagai kaum India di bumi Malaysia. Ini dihangatkan lagi apabila dakwaan sesetengah pihak bahawa DAP cuba memegang tampuk menteri besar sedangkan perlembagaan negeri Perak menetapkan jawatan menteri besar mestilah daripada bangsa Melayu. Sebaik penguasaan DAP di Pulau Pinang, antara langkah terawal adalah memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah lama berkarat dalam minda Melayu. Kes terbaru semasa blog ini ditulis adalah kebangkitan orang Melayu di Pulau Pinang yang menuntut supaya pemansuhan DEB ditarik balik.

Apabila bersembang dengan rakan-rakan, baik secara bersemuka ataupun secara maya, masing-masing meluahkan rasa bimbang sekiranya tragedi 13 Mei 1969 berulang kembali. Masing-masing cuba mempersiapkan diri bagi menghadapi segala kemungkinan. Ada jua sesetengah rakan melaungkan persiapan bagi menghadapinya.

Bagi penulis, sebarang tindakan yang memburukkan lagi keadaan perlu dielakkan. Orang silat tidak semestinya mempamerkan kekuatan dengan pertarungan berdarah, tetapi orang silat perlu bijak mengatasi masalah dengan menggunakan akal. Ini bukan masanya untuk kita mempamerkan diri sebagai 'hero' sebaliknya ini adalah masa orang silat bersikap tenang, memantau situasi dan mempertimbangkan segala kemungkinan yang bakal diambil. Di Malaysia kita masih ada Raja Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan dan semuanya masih berjalan dengan baik. Selagi ianya tidak diusik, adalah tidak perlu bagi kita mengusik sesiapa.

Kita mengakui hak Melayu sebagai bangsa peribumi di Malaysia ini dan pada masa yang sama kita bertanggungjawab menjaga 'tetamu' yang wajib bagi kita layani dan hormati. Masing-masing mempunyai peranan dalam membangunkan negara. Tidak dinafikan kita juga memerlukan khidmat dan pertolongan mereka apabila memerlukan. Jagalah hubungan ini dan elakkan daripada menambah kontroversi. Kita masih ada pihak berkuasa yang bertugas membendung daripada berlaku perkara yang tidak diingini. Awasi sesetengah pihak yang cuba membuat menghasut kepada pertelingkahan dan tunjuk perasaan yang boleh mengundang padah. Golongan ini cuba menangguk di air keruh dengan menggunakan orang silat sebagai 'batang pisang' yang melindungi kepentingan mereka. Bagi saya, selagi belum ada isyarat yang menunjukkan orang silat perlu bangkit mempertahankan bangsa, lebih baik kita berdiam diri dan memerhatikan keadaan sekeliling. Saya percaya, taat orang silat kepada Raja Melayu masih tidak berbelah bahagi. Sayangi diri, sayangi keluarga dan sayangi negara.

Monday, March 3, 2008

Human Weapon Bakal Ditayangkan Di Malaysia


Khamis, 28 Februari 2008, wakil History Channel Malaysia mengadakan sidang media bersama wartawan dan melancarkan siri dokumentari ini dalam suasana sederhana di Villa Manja Spa, Jalan Damai, Kuala Lumpur. Peminat beladiri Human Weapon kini boleh menontonnya di saluran History Channel (Ch555) pada 13 Mac nanti.

Majlis dimulakan dengan persembahan persembahan demonstrasi daripada tiga perguruan silat yang hadir. Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia yang pimpin oleh guru Jazuan membuka tari sembah diikuti dengan aksi tempur. Lian Padukan dipimpin oleh Guru Yazid Abd Rani dengan gerakan perguruan dan aksi tempur. Silat Melayu Keris Lok Sembilan dipimpin oleh Imran Azmi melakukan sembah perguruan dan permainan keris.

Seterusnya wartawan dihidangkan dengan tayangan video Human Weapon: Martial Art of Malaysia selama sejam. Beberapa pembetulan telah dibuat seperti maklumat salah mengenai Lian Padukan telah dipotong oleh penerbit. Manakala komen lain seperti pulau Malaysia, 9 juta pesilat gayung dalam pasukan tentera dan polis berjalan seperti biasa. Sebaik sahaja tayangan tamat, Azlan Ghanie selaku perunding Human Weapon Silat membuka ruang kepada wartawan bertanya soalan.

Akhir sekali, majlis ditutup dengan demostrasi memecah genting oleh pesilat Seni Silat Gayung Malaysia dan bersurai.

Selamat menonton.