Sebaik sahaja Pilihanraya Umum Ke-12 berakhir dengan 5 pukulan berturut-turut dengan menjatuhkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan, kesannya amat dirasai diseluruh negara. Rata-rata cuba mengaitkan dengan perkauman kerana melihat perubahan besar yang dibuat dalam PRU kali ini adalah daripada pengundi bukan Melayu.
Permulaan awal adalah kesan tunjuk perasaan daripada kumpulan HINDRAF yang menuntut hak mereka sebagai kaum India di bumi Malaysia. Ini dihangatkan lagi apabila dakwaan sesetengah pihak bahawa DAP cuba memegang tampuk menteri besar sedangkan perlembagaan negeri Perak menetapkan jawatan menteri besar mestilah daripada bangsa Melayu. Sebaik penguasaan DAP di Pulau Pinang, antara langkah terawal adalah memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah lama berkarat dalam minda Melayu. Kes terbaru semasa blog ini ditulis adalah kebangkitan orang Melayu di Pulau Pinang yang menuntut supaya pemansuhan DEB ditarik balik.
Apabila bersembang dengan rakan-rakan, baik secara bersemuka ataupun secara maya, masing-masing meluahkan rasa bimbang sekiranya tragedi 13 Mei 1969 berulang kembali. Masing-masing cuba mempersiapkan diri bagi menghadapi segala kemungkinan. Ada jua sesetengah rakan melaungkan persiapan bagi menghadapinya.
Bagi penulis, sebarang tindakan yang memburukkan lagi keadaan perlu dielakkan. Orang silat tidak semestinya mempamerkan kekuatan dengan pertarungan berdarah, tetapi orang silat perlu bijak mengatasi masalah dengan menggunakan akal. Ini bukan masanya untuk kita mempamerkan diri sebagai 'hero' sebaliknya ini adalah masa orang silat bersikap tenang, memantau situasi dan mempertimbangkan segala kemungkinan yang bakal diambil. Di Malaysia kita masih ada Raja Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan dan semuanya masih berjalan dengan baik. Selagi ianya tidak diusik, adalah tidak perlu bagi kita mengusik sesiapa.
Kita mengakui hak Melayu sebagai bangsa peribumi di Malaysia ini dan pada masa yang sama kita bertanggungjawab menjaga 'tetamu' yang wajib bagi kita layani dan hormati. Masing-masing mempunyai peranan dalam membangunkan negara. Tidak dinafikan kita juga memerlukan khidmat dan pertolongan mereka apabila memerlukan. Jagalah hubungan ini dan elakkan daripada menambah kontroversi. Kita masih ada pihak berkuasa yang bertugas membendung daripada berlaku perkara yang tidak diingini. Awasi sesetengah pihak yang cuba membuat menghasut kepada pertelingkahan dan tunjuk perasaan yang boleh mengundang padah. Golongan ini cuba menangguk di air keruh dengan menggunakan orang silat sebagai 'batang pisang' yang melindungi kepentingan mereka. Bagi saya, selagi belum ada isyarat yang menunjukkan orang silat perlu bangkit mempertahankan bangsa, lebih baik kita berdiam diri dan memerhatikan keadaan sekeliling. Saya percaya, taat orang silat kepada Raja Melayu masih tidak berbelah bahagi. Sayangi diri, sayangi keluarga dan sayangi negara.
3 comments:
Pada pendapat saya orang silat perlu untuk turut serta kerana ia penting untuk menunjukkan kepada 'tetamu' bahawasanya kita ini wujud. Sekarang ini, orang Melayu mudah diperkotak katikan oleh bangsa lain kerana kelemahan kita dari segala segi.Maka tetamu tersebut dengan mudah atau tanpa rasa gentar memperlekehkan bangsa kita.Apa lagi yang tinggal pada kita untuk menunjukkan kita ini satu bangsa yang hebat?bagi saya hanya silat sahaja jalan yang dapat memberikan sedikit rasa gentar pada diri mereka. Oleh yang demikian, persatuan-persatuan silat harus bersiap sedia dan bersatu.Politik tidak membuatkan kita bersatu, tetapi melalui silat kita boleh bersatu dengan syarat melupakan kepentingan diri masing-masing.
Terima kasih atas pandangan. Pada pendapat saya, kita tidak boleh bertindak sendirian. Di Malaysia kita mempunyai lebih 4 juta pengamal silat di seluruh negara. Ia tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya gelombangnya tidak sekata. Saya fikir elok sekiranya kita serahkan sahaja kepada pihak berkuasa. Saya masih percaya Raja-raja Melayu masih memelihara orang Melayu. Sekiranya tidak, percayalah Allah itu ada.
seorang pengamal bela diri yang baik perlu juga punya ketahanan dalaman yang baik. maksudnya disini ialah sabar. mengalah bukan makna kalah. semuanya harus dilakukan secara hemah dan toleransi. usah kita memulakan pertarungan, lebih afdhal andai kita mempertahankan. mempertahankan disini bermaksud mengelakkan sebarang provokasi.keganasan haruslah dijadikan suatu pilihan terakhir. saya setuju benar dengan pandangan cik imran azmi.
Post a Comment