Monday, May 12, 2008

Pihak Istana Prihatin Dengan Silat

Pada 10 Mei 2008, berlangsung Seminar Sembah Diraja: Adat, Adab & Istiadat Melayu di Cherating Bay Resort. Seminar itu menjadi cukup bermakna dengan kehadiran Yang Dihormati Dato' Sri Wan Hj. Abdul Wahid Wan Hj. Hassan, Orang Kaya Indera Pahlawan Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang merangkap Penasihat Silat Melayu Keris Lok Sembilan. Kehadiran beliau membuktikan hubungan pihak istana dengan perguruan silat tetap kukuh walaupun ditelan zaman.

Di dalam seminar tersebut beliau menerangkan adat dan istiadat serta protokol semasa menghadap sultan, kod pakaian, sejarah sultan bermula dari zaman Khilafah Bani Umaiyah, Bani Abbasiah seterusnya kepada salasilah kesultanan DYMM Sultan Pahang. Di situ beliau menerangkan 'Kenapa Melayu tidak boleh menderhaka sultan.' Majlis diakhiri dengan Seminar Keris oleh Azlan Ghanie dan diikuti dengan persembahan silat di tepi kolam renang. Majlis lebih berseri dengan kehadiran kumpulan gendang Pahang daripada Perguruan Pencak Silat Sangkar Rewana. Pembukaan dimulakan oleh Cikgu Mazlan Haji Hashim kemudian diikuti persembahan Selangkah Guru oleh Perguruan Silat Melayu Keris Lok Sembilan. Persembahan ditutup oleh Cikgu Zul Mat Lela daripada Perguruan Pencak Silat Sangkar Rewana.

Dato' Seri Wan Hj. Abdul Wahid kelihatan gembira dan terpesona persembahan silat. Lebih mempesonakan apabila beliau turut turun bermain gendang bersama kumpulan gendang silat. Menurut Cikgu Mazlan beliau juga arif dengan Silat Melayu.

Tiada ucapan yang dapat diluahkan atas keprihatinan beliau pada Silat Melayu. Menurut Azlan Ghanie, Dato' Sri Wan akan membawa perguruan-perguruan silat menghadap DYMM Sultan Pahang apabila guru-guru silat dapat dikumpulkan sehingga melebihi 200 orang. Semoga hubungan silat dengan pihak istana berterusan sekaligus membuktikan silat tetap relevan di mata DYMM Sultan.

No comments: