Wednesday, December 26, 2007

Kejadian Silat

Menurut Tuan Ismail Tuan Soh, walaupun tiada catatan mengenai silat, sumber lisan tetap diambil bagi menerangkan asal usul silat itu sendiri. Dalam buku beliau, sebahagian besar berpendapat silat bermula daripada wanita. Pendapat ini disokong oleh Azlan Ghanie yang percaya, dengan keunikan silat ini, ia dapat dipelajari oleh wanita dengan mudah tanpa memerlukan teknik dan tenaga yang besar.

Asal-usul Pertama
Salah satu daripada asal usul silat dipercayai berasal dari sebuah perkampungan di Sumatera. Menurut lagenda, seorang suri rumah pergi ke anak sungai bagi mengambil air. Semasa berada di anak sungai itu, beliau ternampak seekor harimau bertarung dengan seekor harimau besar. Pertarungan diceritakan cukup hebat dan berlangsung lama. Dalam pertarungan itu, tidak ada pihak yang menang sebaliknya kedua-dua haiwan itu mati.

Selepas menyaksikan peristiwa luar biasa itu, beliau terus mencedok air lalu pulang. Apabila beliau sampai di rumah, suaminya menunggu dan menyangka beliau melakukan perbuatan curang. Akibat cemburu, berlakulah pertengkaran dan diikuti pergaduhan. Si suami cuba memukul isterinya tetapi isterinya dapat mengelak dan menangkis segala pukulan suaminya. Melihat kelincahan isterinya yang luar biasa itu, si suami berasa hairan dan kagum dengan kemampuan isterinya membela diri.

Si suami menghentikan pergaduhan. Dia bertanya kepada isteri, daripada siapa beliau mempelajari ilmu itu? Isteri menjawab, beliau mendapat ilmu bela diri ini daripada pertarungan harimau dengan burung besar di anak sungai tadi.Si suami tertarik mendengar cerita itu lalu meminta isterinya mengajarnya segala teknik yang beliau peroleh.

Dengan berpandukan gaya tempur kedua binatang tadi, suami menyusun dan mengolah sehingga menjadi teknik bela diri yang disegani iaitu silat.

Asal-usul Kedua
Pendapat yang mendakwa silat bermula daripada wanita disokong oleh pendekar bernama Che Mud bin Che Man (meninggal dunia pada 25 Disember 1982). Namun, beliau menceritakan asal usul silat daripada wanita dari sudut yang berlainan.Pada suatu senja dalam perkampungan Melayu, ada seorang suri rumah yang sedang menjunjung bakul berisi makanan dalam perjalanan menuju ke rumahnya. Tiba-tiba, datang beberapa ekor burung cuba mencuri makanan yang dibawanya.

Dalam pergelutan itu, beliau cepat mengalih bakulnya ke kiri, ke kanan, ke atas dan ke bawah sambil tangannya menepis serangan burung itu. Selain itu kakinya turut bermain tapak bagi mengimbangi dirinya sambil menepis dan menyerang burung-burung itu. Pergelutan itu berlangsung lama sehingga beliau itu terbiasa dengan gerakan-gerakan serta-merta. Akhirnya pergelutan itu berakhir namun makanan yang dibawanya hancur dan rosak.

Apabila beliau sampai ke rumah, beliau dimarahi suami kerana lambat dan makanan yang dibawa untuknya juga rosak. Isterinya cuba menerangkan kepada suami namun si suami enggan mendengar lalu cuba memukulnya. Oleh kerana terbiasa dengan gerakan membela tadi, isterinya dengan mudah mengelak dan menepis semua serangan yang dilancarkan oleh suaminya. Melihat kelincahan isterinya, si suami menghentikan pergaduhan lalu bertanya mengenai asal membela diri isterinya. Isterinya pun menceritakan peristiwa burung-burung tadi. Oleh kerana tertarik hati, si suami mempelajari teknik bela diri itu sehingga mahir. Melalui suami, ia berkembang ke beberapa kampung dan daerah sehingga menjadi silat.

Asal-usul Ketiga
Sebahagian pula berpendapat silat bermula daripada lelaki. Pada zaman dahulu, ada seorang pemuda ternampak sekuntum bunga terjatuh dalam sungai yang mengalir deras menghala ke air terjun. Pada fikiran pemuda itu, sudah pasti bunga itu hancur dihempas air dari tempat yang tinggi. Namun jangkaannya meleset. Bunga itu masih cantik seperti asal dan membelok ke kiri dan ke kanan mengikut arus. Setiap kali bunga itu menghampiri batu, ia akan berbalik kerana pantulan air yang berarus songsang.

Daripada peristiwa itu, pemuda itu mempraktikkan teknik-teknik beladiri mengikut gaya sekuntum bunga tadi. Berdasarkan kajian, susunan dan keberkesanan beladiri beliau mengembangkan silat.

Asal-usul Keempat
Asal-usul keempat ada kaitannya dengan asal-usul ketiga dan diperincikan lagi dalam buku Silat Melayu karangan Ku Ahmad Ku Mustafa dan Wong Kiew Kit. Menurut mereka, kelahiran silat berlaku pada abad ke-13. Tiga adik beradik bernama Burhanuddin, Shamsuddin dan Aminuddin mengembara ke utara Semenanjung bagi mempelajari agama Buddha. Mereka bertiga menuntut dengan sami yang tinggal di hutan (dipercayai di Thailand).

Suatu pagi, Aminuddin merayau-rayau di tepi danau berdekatan air terjun. Beliau ternampak sekuntum bunga terjatuh ke dalam air terjun lalu dibawa arus arus. Namun, bunga itu tetap dalam tidak terjejas atau rosak. Bunga itu melambung-lambung mengikut arus tanpa terhempas ke batu ataupun dihempas air deras. Daripada pemerhatian itu, beliau mencipta seni beladiri yang lemah-lembut, menyerap hentakan lawan dan melepaskan diri daripada kepungan lawan. Sistem yang diperkenalkan oleh Aminuddin inilah dikenali sebagai silat.

Kesimpulan
Sebenar masih ada banyak versi dan dakwaan mengenai asal-usul kewujudan silat. Daripada versi yang dipaparkan, cukup bagi kita menyesuaikan versi-versi ini mengikut sejarah yang berkaitan dengan sesebuah silat. Sukar untuk membuktikan keaslian silat berasal daripada atau terbatas hanya daripada satu versi sahaja. Kerana setiap versi masih kabur dan ada kelemahan yang boleh dipertikaikan. Walau bagaimanapun penulis percaya silat itu tetap berasal daripada SATU yang tidak ada siapa yang tahu mengenai kewujudannya dengan tepat. Cuma apa yang dapat disuaikan dalam versi-versi ini adalah silat mempunyai kaitan yang rapat antara wanita dan bunga. Wanita digambarkan dengan pergerakan yang lemah-lembut, memukau dan tanpa sedar ia mempunyai 'senjata' (mungkin pujuk rayu, air mata dan sebagainya mengikut kelemahan lawan. Wanita yang bijak adalah wanita yang mampu memperdayakan lawannya tanpa merosakkan dirinya) yang mampu melemahkan musuh. Bunga juga cukup sinonim dengan wanita. Kelopaknya cukup lembut tetapi apabila menghadapi asakan luar, ia mudah menyerap hentakan dan mengelakkannya daripada dimusnahkan. Jelas ia menggambarkan silat mempunyai nilai estetika dan unsur strategi yang tinggi.