Apabila menyebut silat, sebahagian menganggap ia adalah beladiri Melayu yang hampir pupus, mengajar keganasan, tidak berperikemanusiaan, lembik dan banyak bunganya, buang masa, tidak sesuai dengan zaman ini yang lebih kepada tempur bebas (free style) dan bermacam-macam lagi. Ia bergantung kepada siapa yang melihat. Apabila seseorang melihat silat itu sebagai ganas maka silat itu memang ganas, apabila melihat silat itu membuang masa maka silat itu memang membuang masa, apabila melihat silat itu lembik maka memang silat itu lembik dan sebagainya.
Dalam menghadapi pelbagai persepsi masyarakat mengenai silat, silat tetap utuh merentas waktu. Bagaikan saka yang tidak mati. Bagai kuasa yang terus membuatnya berdiri. Setiap tahun pesilat bagai silih berganti namun tetap ada yang mewarisi. Ia tidak berkurang tetapi semakin bertambah. Falsafah dan teknik kini tidak seperti silat dahulu kala. Tidak terbatas hanya kepada silat pulut. Tetapi silat terus 'berkawan' dengan pelbagai beladiri di sekeliling, mengambil yang baik dan menolak yang buruk. Silat kini dapat dilihat dengan pelbagai variasi, teknik dan juga nama.
Kelemahan silat kini adalah tidak mempunyai catatan bertulis. Majoritinya diambil daripada sumber lisan yang disampaikan daripada orang dahulu kala. Ada sumber yang dapat disampaikan hingga dinikmati oleh generasi masa kini dan ada sumber yang mati bersama penyampainya. Hingga kini tidak ada siapa yang dapat membuktikan asal usul silat dengan tepat. Peristiwa ini tidak perlu diulangi. Segalanya perlu didokumentasi bagi memastikan sedala rekod dan catatan mengenai silat terus terpelihara untuk generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment