Ada bezanya di antara orang yang membela dirinya secara berseni dengan orang yang membela dirinya tanpa seni. Orang yang membela dirinya secara berseni menggunakan kekuatan akalnya. Jadi, mereka lebih bersifat strategis dan pragmatis. Orang yang bertindak tanpa seni pula hanya menggunakan kekuatan fizikal dan lebih bersifat 'instinctive.' Guru-guru Silat memberikan pentakrifan yang pelbagai tentang seni. Menurut Guru Zahalan Man, Guru Utama Persatuan Ikatan Kalam Utama Malaysia (PIKUM) berkata, "Tanpa seni, seseorang itu bertindak seperti kaum Barbar (tidak bertamadun, tidak berbudaya, ganas, kejam, gemar berperang dan tidak berperikemanusiaan)." Sebahagian guru silat pula berpendapat, seni silat hanya khusus pada upacara rasmi seperti majlis perkahwinan, pertunjukan pentas, sembah diraja dan sebagainya. Apabila berlaku dalam pertempuran sebenar, seni kurang dipraktikkan. Perbezaan di antara seni dan pencak akan dibincangkan pada kuliah akan datang.
Seni dalam Silat Melayu bukan sahaja bermaksud estetik malah ia lebih bersifat saintifik. Estetik bermaksud sopan, lemah lembut dan indah dalam segala pergerakan. Daripada sudut saintifik pula, Silat Melayu tanpa disedari menyerap teori dinamik, momentum, velositi, psikologi dan ekonomi (Rujuk Tuan Ismail Tuan Soh, Seni Silat Melayu dengan tumpuan kepada Seni Silat Sekebun, DBP).
Apabila unsur saintifik diamalkan, orang yang sudah berumur lanjut mampu mengalahkan orang yang lebih muda, orang bertubuh kecil dapat mengalahkan orang yang bertubuh sasa, orang yang tanpa bersenjata dapat mengalahkan orang yang bersenjata dan berbagai-bagai lagi. Tidak hairanlah orang yang mahir mengamalkannya juga dapat mengalahkan musuh yang lebih ramai dan dalam masa yang singkat.
No comments:
Post a Comment