Tuesday, December 11, 2007

SILAT: BERSILAT, SILAT, PASILAT DAN PENCAK SILAT

Di Semenanjung Malaysia, teknik membela diri dalam pergaduhan atau pertarungan disebut 'bersilat.' (O'ong Maryono: Silat Merentang Waktu) Dalam era 80-an, bersilat terdiri daripada lebih 260 gaya atau aliran dengan pelbagai nama. Ia bergantung kepada teknik atau daerah asalnya seperti gayung, gayung Fatani, cekak, keletan, lintan dan terelak (Draeger & Smith 1980:179; Mitchell 1989:183, 1989a:137, Notosoejitno 1984:9). Istilah bersilat juga digunakan di Singapura, Patani, Satun dan Narathiwat.

Di Brunei dan Filiphina Selatan, ilmu beladiri Melayu ini hanya dikenali dengan silat sahaja. Di daerah-daerah lain di Filiphina, istilah pasilat juga sering digunakan (Notosoejitno 1984:10-12). Menurut Mark Wiley, pakar beladiri (1944:21-22), ilmu silat memasuki Filphina melalui Riau. Selain silat, ilmu beladiri Cina, kuntao juga mempengaruhi perkembangan beladiri kuno 'kali.' Di Filiphina, kali dianggap sebagai beladiri moden di Filiphina.

Di Indonesia, ilmu beladiri ini dikenali dengan nama rasminya pencak silat. Seperti Malaysia, pencak silat di Indonesia dikenali dengan pelbagai nama mengikut teknik, daerah dan suku. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia terbitan Balai Pustaka, pencak silat bermaksud permainan (keahlian) dalam mempertahankan diri, baik dengan senjata ataupun tanpa senjata. Bersilat pula bermakna bermain dengan menggunakan ketangkasan menyerang dan mempertahankan diri (Kompas 1996:18).

No comments: