Friday, December 14, 2007

SILAT DI HUMAN WEAPON HISTORY.COM


Silat kini menembusi siri dokumentari beladiri Human Weapon di History Channel (Astro saluran 555 tetapi bagi siri Human Weapon, penulis fikir belum ada di Malaysia). Walaupun saluran ini masih baru, mereka sudah menjelajah ke beberapa negara dalam mencari perguruan beladiri. Antara perguruan yang telah mereka temui adalah Muay Thai (Thailand), Karate, Judo (Jepun), Eskrima (Filiphina), Krav Maga (Israel), Pankration (Greek), Kor Marin, MMA (US), Kung Fu (China), Sambo (Rusia),Prada Serey (Kemboja) dan kini Silat (Malaysia).


Penulis difahamkan mereka berminat membuat liputan mengenai silat apabila terbaca buku The Malay Art of Self-Defense: Silat Seni Gayung karangan Sheikh Shamsuddin Tan Sri SM Salim (atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Sam). Tahniah kepada Cikgu Sam kerana berjaya menghasilkan buku yang dapat membuka mata dunia mengenai silat. Mengikut perancangan asal, mereka mahukan Cikgu Sam melakonkan watak utama sebagai wira namun terpaksa diubah kerana beliau masih bekerja di Amerika Syarikat.


Sehubungan itu, wakil penerbit di Malaysia meminta bantuan Guru Utama Azlan Ghanie selaku Penerbit Majalah Seni Beladiri sebagai perunding kepada beberapa perguruan beladiri. Akhirnya, perguruan silat yang terpilih adalah Seni Silat Gayung Malaysia, Silat Ikatan Kalam Utama Malaysia (PIKUM), Lian Padukan, Silat Melayu Keris Lok Sembilan dan Silat Harimau. Pada mulanya, tidak ada masalah daripada segi mendapatkan kerjasama perguruan silat kerana semua mahu mengangkat perguruan silat masing-masing. Namun, semangat sedikit terbantut apabila mendapat tahu ia hanyalah lakonan. Hos rancangan, Jason Chambers (pengamal MMA, Jiu-jitsu dan Jeet Kun D0) dan Brian Duff (pemain ragbi, pengawal keselamatan, ahli gusti dan Toa So Dou) melakonkan watak mahu mempelajari Seni Silat Gayung. Sebagai syarat, guru Silat Gayung meminta Chambers dan Duff mempelajari dan menguasai silat yang terdapat di Malaysia. Selepas mempelajari silat daripada pelbagai perguruan, mereka akan berentap dengan enam pesilat Gayung sebelum diterima sebagai murid. Ironinya, rancangan itu seolah meletak 'standard' perguruan silat pada kehendak pengarah, layanan penerbit rancangan kepada perguruan dan berlaku kesilapan fakta yang agak sensitif.

Walaupun ada pihak yang terguris dengan rancangan itu, semua perguruan tetap memberikan kerjasama yang baik. Adat meraikan tetamu, biar sampai kenyang. Penulis tidak berada lama di lokasi penggambaran. Cukuplah memberi apa yang termampu kepada mereka yang pandai menghargai.

Video rasmi Human Weapon, History.com boleh ditonton di:

http://www.history.com/minisite.do?content_type=Minisite_Video_Clips&display_order=1&content_type_id=56896&mini_id=54986
Video penuh di:

http://www.66stage.com/tv.php?url=v1531940cfCehFte&pl=veo

Sumber gambar: http://www.zipile.com/forums/showthread.php?t=22776

Selamat Menonton!

2 comments:

Mohd Nadzrin Wahab said...

Assalamualaikum Ustaz!

Tahniah di atas kelahiran Universiti Silat Antarabangsa. Satu usaha yang dialu-alukan. Terasa cemburu pula saya :)

Terima kasih di atas kesudian ustaz menambah jalinan ke Silat Melayu: The Blog. Sebagai balasan kasih, saya sudah menambahkan juga jalinan dari blog saya ke sini.

Saya juga ingin meminta keizinan ustaz untuk menerjemahkan artikel di sini untuk diterbitkan di blog saya, supaya masyarakat antarabangsa dapat mengetahui hakikat silat sebenar dari perspektif Malaysia.

Ustaz boleh hubungi saya di webmaster[at]silatmelayu.com

Wassalam!

Imran Azmi said...

Assalamualaikum, saudara Mohd Nazrin.

Saya Imran bin Azmi, penyelaras blog Universiti Silat Antarabangsa membenarkan saudara menterjemah sebarang maklumat yang saudara perolehi daripada blog Universiti Silat Antarabangsa.

Untuk makluman saudara, blog ini masih baru dan sedang mengumpul maklumat daripada guru-guru silat. Beberapa guru silat memberikan kebenaran supaya artikel, pandangan dan komen disiarkan dalam blog ini.

Blog ini menggunakan bahasa Melayu 100% kerana mendapat nasihat daripada guru-guru silat juga. Mereka mencadangkan supaya Malaysia dijadikan pusat (universiti) silat dan antara silibus pusat adalah perlunya menguasai bahasa Melayu. Saya berbesar hati dengan pengumuman saudara.

Segala jasa baik saudara amat saya sanjung tinggi.

Bersama memartabatkan silat.

p/s: perasaan cemburu itu tidak perlu timbul Saudara memainkan peranan yang besar dalam membawa silat ke arena antarabangsa. Tahniah! :)


IMRAN AZMI
Penyelaras Projek
Universiti Silat Antarabangsa

s/k: Silat Melayu: The Blog