Tuesday, December 11, 2007

PERBEZAAN PENCAK DAN SILAT

Menurut Pendita Anuar Abdul Wahab (A.M.N.), pencak sememangnya dari Indonesia. Sehubungan itu, adalah wajar kita mengambil sumber dari Indonesia bagi memahami istilah pencak dan silat.

Menurut Guru Pencak Silat Baewan, Abdus Sjukur,

“pencak ialah gerakan langkah indah dengan mengelak, yang disertakan gerakan berunsur komedi. Pencak dapat dipertontonkan sebagai medium hiburan. Sedangkan silat ialah unsur teknik beladiri yang menangkis, menyerang dan mengunci yang tidak dapat diperagakan di depan umum.”

Guru Utama Hasan Hasbudin, pengasas perguruan Pamur di Madura bersependapat,

“pencak ialah seni beladiri yang diperagakan seni beladiri yang diperagakan dengan diatur, padahal silat sebagai intisari daripada pencak yang tidak dapat diperagakan. Di kalangan suku Madura, pencak dianggap berasal daripada perkataan bahasa Madura, 'apengkarepeng laju aloncak' (bergerak tanpa aturan sambil meloncat) sedangkan silat berasal daripada 'se amaen alat mencelat' (sang pemain berloncat kian ke mari seperti kita).”

Baehori, pendekar Tapak Suci dari kota Jember mengakui istilah pencak daripada perkataan Madura. Namun, menurut beliau, asal perkataan pencak adalah 'acak mancak' iaitu melompat ke kiri dan kanan dengan menggerakkan tangan dan kaki. Interpretasi mengenai silat juga berbeza:

“pencak ialah fitrah manusia untuk membela diri dan silat sebagai unsur yang menghubungkan gerakan dan fikiran.”

Beliau juga mengakui silat perlu dirahsiakan.

Imam Koesepangat, Guru Utama Setia Hati Teratai di Kota Madiun mentakrifkan pencak sebagai gerak beladiri tanpa lawan dan silat adalah beladiri yang tidak boleh dipertandingkan.
Mr. Wongsonegoro, salah seorang pengasas dan ketua pertama Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) membezakan,

“pencak ialah gerakan serang bela yang berupa tari dan berirama dengan peraturan adat kesopanan yang tertentu, yang boleh dipertontonkan kepada umum. Silat ialah intisari daripada pencak, ilmu untuk perkelahian atau membela diri bermati-matian yang tidak dapat dipertunjukkan kepada umum.”

Sebenarnya pemahaman mengenai pencak dan silat ini sentiasa menjadi perselisihan yang tidak dapat diselesaikan. O'ong Maryono berpendapat, pada peringkat awal, perguruan hanya menggunakan istilah pencak sahaja ataupun silat sahaja. Ia dua istilah berlainan pada makna dan daerah. Sehinggalah pada tahun 1948, muncul keinginan untuk menggabungkan dua istilah asas ini sebagai usaha kolektif bagi menyatukan semua perguruan di Indonesia. Akhirnya, pada tahun 1973, pencak silat diperkukuhkan secara sebagai istilah nasional. Walaupun istilah pencak silat digunakan secara rasmi, pemahaman mengenai istilah pencak dan istilah tetap tidak hilang malah ia tetap digunakan secara berasingan seperti Pencak Angkatan Muda Rasio dan Keluarga Silat Nasional sebagai memelihara warisan dalam membentuk kesepaduan.
(sumber: Silat Merentang Waktu: O'ong Maryono: 2000)

No comments: